Pesta Rave Bukit Bintang: Inovasi Pelancongan atau Salah Langkah Dasar?
Pesta Rave Bukit Bintang: Inovasi atau Salah Langkah?

Pesta 'rave' antara tarikan pelancongan dan salah arah dasar. Kajian pelancongan secara konsisten menunjukkan pembezaan destinasi merupakan pemacu utama kecekapan persaingan jangka panjang, bukan peniruan atau imitasi.

Rain Rave Water Musical Festival di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei lepas telah dibingkaikan sebagai inovasi pelancongan yang berani. Namun di sebalik kerlip cahaya dan bingit muzik, tersorok kebimbangan yang lebih dalam – sama ada kita menyaksikan penemuan strategik atau telah melakukan salah langkah dasar dengan akibat jangka panjang yang merugikan.

Identiti lawan imitasi

Dari sudut persaingan pelancongan, kekuatan Malaysia bergantung pada aset budaya tulen: warisan, makanan, kepelbagaian dan alam. Konsep Rain Rave menyerupai festival Songkran di Thailand, terutamanya model S2O. OECD menegaskan strategi pelancongan hendaklah berakar pada identiti setempat dan modal budaya unik, bukan peniruan. Kajian dalam Journal of Sustainable Tourism mendapati pelancongan hasil peniruan menjatuhkan nilai jenama dan menghakis kesetiaan destinasi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perayaan Songkran di Thailand telah berevolusi secara organik selama berdekad-dekad. Percubaan meniru versi komersialnya berisiko meletakkan Malaysia sebagai pengikut trend, bukan pemimpin idea.

Kejayaan ekonomi tanpa ketelusan

Anggaran pendapatan sehingga RM200 juta dan kehadiran 180,000 pengunjung disebarkan, namun metodologinya musykil. Tiada pembezaan antara perbelanjaan kasar dengan perolehan ekonomi bersih, dan tiada bukti perakaunan kos awam seperti keselamatan, pembersihan, gangguan perniagaan. UNWTO dan OECD menuntut model input-output telus dan verifikasi bebas. Penyelidikan Victor Matheson (2019) menunjukkan kesan pengganda acara mega sering dilebih-lebihkan. Tanpa ketelusan, angka-angka ini menjadi alat naratif, bukan bukti kejayaan dasar.

Festival EDM dan risiko dadah

Format terbuka, jalanan dan kawalan rendah menimbulkan kebimbangan keselamatan. EMCDDA melaporkan persekitaran festival sebagai rangka berisiko tinggi bagi penggunaan dadah perangsang dan sintetik. Kajian dalam International Journal of Drug Policy mendapati kadar penggunaan dadah signifikan lebih tinggi dalam acara EDM. Di Belgium, MDMA (52.28%), halusinogen sintetik (53.8%), ketamin (42.13%) digunakan lebih kerap. AIHW mendapati festival terbuka menyukarkan respons pengurangan kemudaratan. Reka bentuk venue kritikal; kawalan perimeter lemah di Bukit Bintang melemahkan keselamatan.

Kegagalan urus tadbir

Penglibatan langsung badan pelancongan kerajaan menimbulkan persoalan governans. Bank Dunia menekankan pengasingan peranan penyeliaan dan pelaksanaan. Transparency International memberi amaran risiko regulatory capture. Apabila entiti sama mempromosi, mendanai dan mengawasi acara, fungsi penguatkuasaan lemah dan akauntibiliti mencair.

Ilusi kejayaan: hasil jangka pendek lawan kos jangka panjang

Perbelanjaan semasa acara mungkin hanya peralihan pemasaan, bukan perolehan bersih. Manfaat tidak sekata, kos perkhidmatan awam sering diketepikan. Bukit Bintang adalah kawasan komersial sibuk dengan aktiviti runcit, koridor pelancongan dan hub pengangkutan. UN-Habitat menekankan acara di zon padat mesti sejajar dengan kapasiti spatial. Laporan kesesakan dan gangguan perniagaan adalah kos sosial ekonomi yang perlu diambil kira.

Kesesuaian sosial dan sensitiviti budaya

Bantahan meluas terhadap Rain Rave, termasuk dalam kalangan pemimpin dan agensi kerajaan, memaparkan kebimbangan moral dan kesopanan awam. UNWTO menyebut pelancongan mampan wajib menghormati ketulenan sosio-budaya komuniti tuan rumah. Debat berterusan di media sosial membuktikan kegagalan Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan mematuhi prinsip utama pelancongan.

Kaji semula dasar pelancongan negara

Rain Rave adalah kes ujian arah tuju dasar pelancongan. Ia mendedahkan peralihan ke arah pelancongan pacuan persembahan diimport, kelemahan pentadbiran, jurang kawalan keselamatan, pergantungan pada naratif tidak diaudit, ketidakpekaan terhadap kepentingan tempatan, dan ketidakpatuhan kepada panduan sedia ada. Malaysia tidak harus menjadi pentas ujian idea pinjaman, sebaliknya setia kepada keunikan berzaman yang sudah teruji.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga