Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia dan Kemboja komited untuk mempergiatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, halal, pendidikan tinggi, dan memperkukuh tadbir urus keselamatan serantau, terutamanya dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan aktiviti penipuan pekerjaan.
Anwar, yang berada di Cebu, Filipina, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet, di sela-sela persidangan tersebut.
Kedua-dua pemimpin turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi, halal, pertanian, dan pelancongan. Malaysia juga mengalu-alukan lebih ramai pelajar dan pelancong dari Kemboja ke negara ini selaras dengan semangat keterbukaan dan pembangunan bersama ASEAN.
“Pertemuan dua hala dengan Hun Manet petang ini berlangsung dalam semangat persahabatan serantau yang terus diperkukuh untuk kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar dalam hantaran Facebook hari ini.
“Malaysia menghargai hubungan jangka panjang dengan Kemboja, termasuk hubungan rakyat ke rakyat yang semakin erat, kerjasama ekonomi, dan usaha memperluas rangkaian strategik dalam pelbagai bidang.”
Dalam dunia yang semakin berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi, Anwar menegaskan bahawa ASEAN perlu terus diperkukuh sebagai platform untuk keamanan, kestabilan, dan kemakmuran serantau berdasarkan kepercayaan bersama dan kepentingan bersama.



