KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) berhasrat menyegerakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia bagi memastikan rantaian bekalan tenaga lebih berdaya tahan dalam krisis yang membelenggu Asia Barat.
Keperluan mendesak untuk daya tahan
Duta Khas EU ke Indo-Pasifik, Maria Castillo Fernandez, berkata wujud keperluan mendesak mengurangkan kelemahan khususnya dalam bekalan tenaga global serta keperluan utama seperti makanan. Katanya, tindakan Rusia menceroboh Ukraine pada 2022 memaksa Eropah mengurangkan import minyaknya secara drastik dari Rusia, seterusnya memaksa pencarian sumber lain demi mengekalkan bekalan tenaga.
“Begitu juga dengan krisis di Asia Barat kini, penting untuk kita menjadi lebih berdaya tahan,” katanya kepada FMT dalam wawancara eksklusif.
Kerjasama dengan ASEAN
Fernandez berkata, pengalaman dengan Rusia menunjukkan pentingnya EU meningkatkan kerjasama dengan ASEAN dan rakan Indo-Pasifik lain bagi keselamatan tenaga dan daya tahan ekonomi lebih meluas. “Kami sedang melihat bagaimana dapat bekerjasama lebih rapat dengan rakan ASEAN berkait isu seperti keselamatan tenaga,” katanya.
Menurutnya, EU telah menyatakan sokongan untuk projek Grid Kuasa ASEAN dan menyuarakan harapan ia dilaksanakan lebih cepat. Fernandez berkata, mengukuhkan ikatan perdagangan berasaskan peraturan juga penting ketika pelbagai krisis, daripada perang hingga gangguan tenaga, menguji kestabilan ekonomi global.
Percepatan FTA
Katanya, penting untuk mempercepatkan rangkaian FTA. “Perdagangan berasaskan peraturan antara negara dan rantau akan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan,” katanya, sambil menzahirkan harapan supaya FTA dengan Malaysia dimuktamadkan secepat mungkin.
Keselamatan ekonomi dan pelaburan
Fernandez menegaskan, keselamatan ekonomi penting dalam perbincangan perdagangan dan pelaburan, dengan elemen berdaya tahan kini tersemat dalam perkongsian ekonomi. Katanya, tahap pelaburan tinggi, termasuk dari syarikat Eropah, mengetengahkan betapa Malaysia bersepadu dalam rangkaian pengeluaran global, terutama semikonduktor.
EU juga terlibat dalam rundingan perdagangan bersama negara ASEAN seperti Filipina dan Thailand, selain baru selesai memuktamadkan rundingan bersama Indonesia. Selain itu, katanya, kedudukan geopolitik dan prestasi diplomatik Malaysia meletakkannya dalam peranan besar ketahanan serantau.
Kepengerusian ASEAN Malaysia
Beliau menyifatkan kepengerusian ASEAN yang digalas Malaysia tahun lalu sebagai ‘kejayaan diplomasi hebat’, dan berkata keupayaan negara menghubungkan manusia, perniagaan, dan budaya di seluruh Asia menjadikannya penting dalam kerjasama pelbagai hala. Fernandez berkhidmat sebagai duta EU ke Malaysia dari 2016 hingga 2020.



