Jerman mahu perkukuh pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura
Jerman mahu perkukuh pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei — Johor semakin dilihat sebagai pintu masuk strategik ke ASEAN apabila Jerman berusaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan global dan memperluas perkongsian pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di tengah krisis rantaian bekalan global dan konflik di Asia Barat.

Duta Jerman ke Malaysia, Silke Riecken-Daerr, berkata seramai 70 perwakilan perniagaan akan meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di zon ekonomi tersebut.

Beliau berkata delegasi “Team Germany” peringkat tinggi itu berada di Johor untuk lawatan bersama dua hari bagi meneliti keadaan pelaburan di JS-SEZ.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Sebagai negara perdagangan, kami amat berminat untuk mempelbagaikan rantaian bekalan, menjalin perkongsian baharu dan peluang pelaburan, dan saya fikir Johor adalah calon yang sangat baik untuk itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, di Bangunan Dato Jaafar Muhammad di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Duta Jerman ke Singapura, Bettina Fanghanel.

Riecken-Daerr dan Fanghanel juga diiringi wakil dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman, Dewan Perniagaan Singapura-Jerman, Majlis Perniagaan Jerman Johor, Pusat Jerman Singapura, Germany Trade and Invest, serta wakil dari 55 syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura dalam lawatan bersama yang bermula hari ini.

Riecken-Daerr berkata ketika ini terdapat kira-kira 750 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia, termasuk sekitar 90 syarikat di Johor.

Beliau berkata delegasi itu melihat peningkatan minat rentas sempadan dalam kalangan syarikat Jerman yang berpangkalan di Singapura untuk mengembangkan operasi mereka ke Johor, terutamanya dalam JS-SEZ.

Riecken-Daerr juga menonjolkan ketersambungan maritim Johor, ketersediaan tanah dan tenaga kerja mahir berbilang bahasa sebagai antara faktor yang menjadikan negeri itu destinasi pelaburan yang menarik.

Sementara itu, Lee berkata kebanyakan syarikat Jerman yang beroperasi di Johor adalah dalam industri logistik dan kimia.

Beliau berkata negeri itu juga telah menerima banyak pelaburan berimpak tinggi dari Jerman tahun lalu, termasuk SICK AG dengan pelaburan lebih RM1 bilion dan 2,000 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, Lee berkata pertemuan dengan duta-duta itu bukan sahaja memberi impak besar dari segi pelaburan, tetapi juga kerjasama dalam pembangunan bakat tempatan melalui kursus dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata kerjasama itu sesuai memandangkan Jerman adalah salah satu kuasa besar dunia dari segi kekuatan industri dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Buat masa ini, tumpuan adalah pada industri minyak dan gas, tetapi sudah tentu, untuk pembuatan termaju seperti automasi, EV dan automotif, di mana Jerman sangat kuat, kita boleh berbincang lebih lanjut untuk menjalin kerjasama,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga