GEORGE TOWN, 16 Mei — Dua warga emas termasuk seorang bekas pengarah syarikat kerugian hampir RM2.7 juta selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan melalui platform pelaburan berasingan, baru-baru ini.
Kes pertama: Pekerja jentera rugi RM1.294 juta
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang bekerja sebagai pekerja jentera dan mengalami kerugian RM1.294 juta selepas ditipu dalam skim pelaburan dalam talian dikenali sebagai 'Global Finance Trends XA'.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menerima laporan daripada mangsa semalam dan lelaki itu dikatakan mula berminat dengan skim tersebut selepas melihat iklan pelaburan di Facebook pada Mac sebelum dihubungi oleh seorang suspek wanita melalui WhatsApp.
“Suspek menawarkan pelaburan yang dikatakan berasal dari China di bawah nama syarikat Citic Wealth Advisors Sdn Bhd, menjanjikan keuntungan tinggi dan pada peringkat awal, suspek hanya memberi tip pelaburan tempatan dan ramalan keuntungan yang diberikan didapati tepat, menyebabkan mangsa mula percaya dengan skim tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi 'Global Finance Trends XA' untuk pendaftaran dan transaksi pelaburan sebelum membuat 28 transaksi pembayaran berjumlah RM1.397 juta ke akaun bank CIMB atas nama syarikat antara 6 April hingga 4 Mei.
Azizee berkata, lelaki itu hanya menerima pulangan sebanyak RM103,000 sebelum menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan RM1 juta yang dipaparkan pada aplikasi tersebut.
Kes kedua: Bekas pengarah syarikat rugi RM1.403 juta
Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang bekas pengarah syarikat wanita berusia 72 tahun turut kerugian RM1.403 juta selepas ditipu oleh sindiket pelaburan dalam talian menggunakan nama 'Shanghai Futures Exchange'.
“Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki asing melalui Facebook pada Julai 2023 sebelum hubungan diteruskan melalui aplikasi Line. Suspek juga menghantar gambar kad pengenalannya untuk meyakinkan mangsa bahawa dia benar-benar wujud sebelum menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
“Wanita itu kemudian diminta melayari laman web melalui pautan yang diberikan untuk pendaftaran keahlian dan tujuan pelaburan dan antara 27 November tahun lalu hingga 5 Februari, mangsa membuat 53 transaksi berjumlah RM1.403 juta ke dalam 30 akaun bank berbeza termasuk 26 akaun individu dan empat akaun syarikat,” katanya.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan RM30 juta yang dipaparkan pada aplikasi, selain akaunnya disekat manakala suspek tidak dapat dihubungi.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan. — Bernama



