Dua orang lelaki yang disyaki anggota kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) maut dalam pertempuran dengan pihak berkuasa tempatan awal pagi tadi.
Pusat Maklumat Pasukan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC 4) memaklumkan bahawa kedua-dua individu yang mempunyai tiga waran tangkap tertunggak itu meninggal dunia dalam kejadian di daerah Khok Pho kira-kira pukul 5 pagi.
“Selepas menerima laporan risikan mengenai kehadiran anggota BRN, pihak berkuasa melancarkan operasi mengepung sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian mereka.
“Sebelum tindakan diambil, pihak berkuasa membuat usaha untuk memujuk individu di dalam rumah itu supaya menyerah diri, tetapi suspek sebaliknya melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan,” kata unit itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
ISOC 4 berkata pihak berkuasa berjaya memasuki rumah itu selepas beberapa minit pertukaran tembakan dan menemui dua lelaki yang sudah meninggal dunia bersama dua pistol yang dipercayai milik suspek, serta sebuah bom buatan sendiri.
Menurut ISOC 4, seorang renjer juga cedera dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendedahkan bahawa kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam beberapa serangan bom dan tembakan baru-baru ini di wilayah Pattani dan Yala.



