Singapura, 7 Mei — Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah merampas 6,641 unit produk kesihatan haram yang dipintas di pemeriksaan darat, udara dan laut dalam satu operasi penguatkuasaan global bernama Operasi Pangea XVIII.
Dalam satu kenyataan, agensi itu berkata operasi yang diselaraskan oleh Interpol itu melibatkan 90 negara dan dijalankan dari 10 hingga 23 Mac 2026.
Menurut HSA, majoriti produk yang dirampas dipintas melalui perkhidmatan pos. Ia termasuk ubat preskripsi seperti penahan sakit atau sedatif, ubat anti-parasit seperti ivermectin dan pengisi kulit.
Semasa operasi, HSA turut menurunkan 959 penyenaraian produk kesihatan haram dari platform e-dagang dan media sosial tempatan, serta mengeluarkan amaran kepada 152 penjual.
“Produk kesihatan haram seperti ubat tidak berdaftar, peranti perubatan, dan ubat herba tercemar, serta peralatan pembuatan farmaseutikal disasarkan untuk tindakan penguatkuasaan.”
“HSA telah mengambil bahagian dalam setiap edisi usaha kerjasama ini sejak Operasi Pangea dimulakan pada 2008,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, Interpol dalam kenyataan berasingan berkata Operasi Pangea XVIII menghasilkan rampasan 6.42 juta dos ubat tidak diluluskan dan tiruan bernilai AS$15.5 juta (RM60.5 juta).
Ia berkata 269 orang ditangkap dalam operasi itu dan 66 kumpulan jenayah yang terlibat dalam perdagangan farmaseutikal haram dibongkar.
“Agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia melancarkan 392 siasatan dan melaksanakan 158 waran geledah menyasarkan rangkaian jenayah yang mengedarkan produk perubatan tidak diluluskan, tiruan, substandard dan palsu,” katanya.
Interpol berkata dua bahan yang mendominasi rampasan adalah ivermectin, digunakan untuk merawat jangkitan parasit dan cacing, dan fenbendazole, agen nyahcacing yang hanya diluluskan untuk kegunaan veterinar.
Australia, New Zealand, Singapura, Amerika Syarikat, dan United Kingdom semuanya melaporkan rampasan ketara kedua-dua bahan itu, katanya. — Bernama



