KUALA LUMPUR, 28 Mei — Kerajaan Madani tetap tegas dan tidak akan berkompromi dalam melindungi keselamatan, kebajikan dan hak rakyat Malaysia di luar negara, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.
Menteri Dalam Negeri desak siasatan telus
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan menuntut siasatan segera, menyeluruh, bebas dan telus terhadap layanan kasar yang dikenakan ke atas warga Malaysia dan aktivis Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang ditahan oleh pasukan Israel semasa misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
“Kerajaan juga menuntut agar kebajikan, maruah dan hak undang-undang semua aktivis yang ditahan dihormati dan dilindungi sepenuhnya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan menyeru usaha diplomatik yang konsisten untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan yang boleh mengancam kestabilan dan keselamatan antarabangsa.
Kebimbangan terhadap layanan fizikal
“Sebagai rakyat Malaysia, kami amat prihatin apabila timbul dakwaan melibatkan layanan fizikal yang kasar, unsur ugutan dan penafian hak asasi terhadap aktivis yang terlibat.
“Saya faham bahawa pelbagai pihak, termasuk pertubuhan hak asasi manusia dan wakil undang-undang, sedang mengumpul keterangan dan bukti berkaitan insiden tersebut,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan akan terus memantau situasi dengan rapi dan memastikan kepentingan serta keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan utama.
28 rakyat Malaysia selamat pulang
Seramai 28 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza dan ditahan oleh pasukan Israel telah selamat tiba di tanah air pada Isnin lepas.
Bagaimanapun, seorang lagi aktivis, Razman Mat Ali, dilaporkan masih berada di Istanbul, Turkiye, menerima rawatan selepas mengalami pneumothorax traumatik (paru-paru runtuh) akibat ditumbuk oleh askar Israel semasa kejadian. — Bernama



