Polis Malaysia atasi jenayah siber, scam dan e-waste haram
Polis Malaysia atasi jenayah siber, scam dan e-waste haram

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara melalui penganjuran PDRM Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) dalam usaha menangani ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan dinamik.

Fokus utama forum tahun ini

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata platform dialog peringkat antarabangsa ini merupakan langkah progresif PDRM untuk menghimpunkan pakar teknologi, penggubal dasar dan agensi penguatkuasaan bagi merangka strategi berkesan menangani ancaman keselamatan kontemporari.

Beliau berkata, fokus utama edisi tahun ini merangkumi isu kritikal seperti scam dalam talian, jenayah siber, sindiket dadah dan aktiviti e-waste haram yang kini menjadi ancaman serius kepada ekonomi dan alam sekitar negara.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bagi tahun 2025 sahaja, kerugian akibat scam dalam talian di Malaysia mencecah RM2.7 bilion. PDRM turut membongkar lebih 110 tapak e-waste haram melalui Ops Hazard 3.0 dengan rampasan bernilai lebih RM582 juta, membuktikan ancaman hari ini memerlukan pendekatan yang lebih teknikal dan kolaboratif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama strategik dan penyertaan meluas

PSD V 2026 yang diterajui Jabatan Pengurusan PDRM dengan kerjasama strategik Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, menyaksikan penyertaan lebih 3,000 hadirin termasuk 200 delegasi VIP dan 135 syarikat teknologi dari 17 negara.

Program ini turut melibatkan beberapa jabatan utama PDRM termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Persediaan ke arah Sidang Kemuncak Keselamatan Asia 2027

Mohd Khalid berkata, dialog ini menjadi pemangkin utama ke arah penganjuran Asia International Security Summit & Expo 2027 (AISSE’27) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada Januari tahun depan.

“Penganjuran ini mencerminkan komitmen PDRM yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui integrasi teknologi generasi akan datang seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengurusan sempadan dan pemantauan keselamatan digital,” katanya.

Antara topik utama yang dibincangkan sepanjang program ini termasuk ancaman kejuruteraan sosial, scam kripto, pemerdagangan manusia dalam era digital, serta eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga