Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di PJ
Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di PJ

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung secara head-on dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang hilang kawalan di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Kejadian Pada Waktu Tengahari

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat, berkata pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 2:08 petang. Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada pukul 1:45 petang di Jalan 17/21, Petaling Jaya, membabitkan sebuah Proton X70 berwarna kelabu yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 70-an. Kenderaan tersebut hilang kawalan, lalu melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berusia 20-an.

“Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Siasatan Lanjut

Shamsudin berkata pemandu SUV itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing dan alkohol awal yang dijalankan ke atas lelaki itu adalah negatif. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menggesa orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Sivam @ M. Siva, di talian 03-79662226 untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, video berdurasi lapan saat tular di media sosial menunjukkan sebuah SUV melanggar motosikal secara head-on. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga