Penjual kuih didenda RM30,000 jual kandungan lucah
Penjual kuih didenda RM30,000 jual kandungan lucah

Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap seorang penjual kuih berusia 24 tahun selepas dia mengaku bersalah menjual kandungan lucah melalui aplikasi Telegram bagi tujuan komersial dua tahun lalu.

Hukuman dan Dakwaan

Hakim Ahmad Fuad Othman memerintahkan tertuduh, Branley Mohd Tahar, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Lelaki itu didakwa secara sedar menggunakan perkhidmatan Telegram untuk memberi komunikasi lucah, iaitu akses kepada kumpulan Telegram yang mengandungi video lucah bagi maksud komersial.

Dia menjual kandungan itu kepada ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui akaun Telegram dengan bayaran RM150 menggunakan tambah nilai Touch N Go pada 8.44 malam 22 Julai 2024.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesan kepada Masyarakat

Hakim berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh jelas melanggar dua prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan. Tindakan itu memberi kesan negatif kepada masyarakat dan bertentangan dengan nilai agama Islam.

“Jangan guna media sosial untuk merosakkan moral ‘public’ (orang awam) dan keharmonian negara,” katanya menurut Berita Harian.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tiada pekerjaan tetap. “Saya hanya membantu ibu menjual kuih dan menjadi tulang belakang keluarga kerana adik-beradik lain tinggal jauh. Saya dah insaf Yang Arif,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SKMM, Mohamad Azmir Mohd Razali meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan serius yang dilakukan tertuduh membawa kesan besar kepada masyarakat. Tindakannya bermotifkan keuntungan dan pernah menjana sehingga RM33,000.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga