Sekumpulan pelarian Iran di Malaysia mendakwa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengamalkan diskriminasi dengan mendakwa kes mereka diabaikan selama lebih sedekad, manakala warga negara lain diberi keutamaan untuk penempatan semula.
Kes diabaikan, tiga maut menunggu
Ketua komuniti, Mohammed Aboutalebi, 63, memberitahu FMT, walaupun kumpulan mereka kecil, dengan kurang daripada 500 pelarian dan pencari suaka, warga Iran kurang menerima perhatian dan sokongan. Dia mendakwa tiga antara mereka meninggal dunia selepas menunggu sehingga 15 tahun untuk ditempatkan semula manakala warga negara lain dipindahkan terlebih dahulu walaupun tiba kemudian daripada pelarian Iran.
Tiada jalan pulang
Arezoo Sabaghzadeh, 46, melarikan diri dari Iran pada Mei 2010 dan telah menetap di Malaysia sebagai pelarian bersama keluarganya kira-kira 16 tahun. Dakwanya, dia dimaklumkan UNHCR bahawa ‘tiada masalah’ di Iran dan menasihatinya pulang. Menurutnya, suaminya kemudian kembali ke Iran buat sementara waktu untuk mendapatkan dokumen, namun ditahan. Lelaki itu diseksa dan dimasukkan ke hospital sebelum dibebaskan dengan ikat jamin menggunakan geran rumah keluarga mereka, yang kemudiannya dirampas oleh kerajaan Iran.
“Ketika saya mula datang ke sini, anak sulung saya baru berusia empat tahun. Sekarang dia sudah berusia 20an, mengalami kemurungan dan marah kerana kami tidak mempunyai apa-apa – tiada pendidikan, tiada pekerjaan, tiada masa depan. Dia menghabiskan sepanjang hari di dalam bilik kerana takut kepada polis,” katanya kepada FMT.
Suami Arezoo, Hamid Rastgordani, 54, telah melancarkan mogok lapar di luar bangunan UNHCR sejak 4 Mei bagi menuntut tindakan terhadap kes penempatan semulanya. Walaupun sudah berpuasa selama beberapa minggu dan menghantar emel berulang kali, dia mendakwa masih belum menerima sebarang maklum balas.
Ibu tunggal dinafikan perlindungan
Ibu tunggal, Samaneh Bashi, 42, mendaftar dengan UNHCR pada 2022 selepas melarikan diri dari Iran akibat penganiayaan keluarga dan ancaman politik yang dikaitkan dengan keluarga bekas suaminya. Katanya, bekas bapa mentuanya yang merupakan seorang pegawai polis pernah mengugut untuk mengambil anak perempuannya jika dia kembali ke Iran.
Samaneh datang ke Malaysia bersama suami dan anak perempuannya, namun bercerai selepas mengalami penderaan. Beliau berkata UNHCR menolak permohonan penentuan status pelariannya pada Mei 2024 dengan memaklumkan bahawa dia boleh ‘kembali ke Iran’ jika berasa tidak selamat di sini. Menurutnya, rayuan yang dibuat berulang kali tidak berhasil. Kini beliau bekerja sebagai pencuci di sebuah sekolah tempat anaknya belajar sebagai pertukaran untuk perkhidmatannya, namun berkata kehidupan sebagai ibu tunggal tanpa kestabilan telah menjejaskan kesihatan mental anaknya serta kewangan mereka.
Terlalu ‘berkulit putih’ untuk dianggap pelarian
Menurut Pooria Shirbani, 39, komunitinya merasakan UNHCR tidak menganggap mereka sebagai pelarian ‘sebenar’ kerana penampilan mereka yang lebih berciri Barat serta kefasihan berbahasa Inggeris.
“Kami terlalu ‘berkulit putih’ untuk dilihat sebagai pelarian. Kami tidak beragama dan kami tidak berjanggut panjang atau memakai dishdasha (jubah tradisional Timur Tengah). Ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Ia sama di seluruh dunia.
“Kami tidak dianggap sebagai kes sesuai untuk diberikan status pelarian. Malah apabila mengadakan protes, kami memakai pakaian terbaik. Sebaliknya, warga negara lain memakai pakaian tidak sesuai dan kotor. Mereka ke UNHCR untuk meraih simpati dan pintu terbuka untuk mereka,” kata Pooria kepada FMT.
Pooria telah menetap di Malaysia sejak 2013 menggunakan visa pelajar, pasangan dan kerja, sebelum memohon perlindungan sebagai pelarian pada 2024 selepas berdepan penganiayaan di Iran. Walaupun telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, beliau berkata dirinya tidak pernah dipanggil untuk sesi temu duga.
UNHCR tegaskan ia sedar isu dihadapi
UNHCR enggan ditemu bual, namun berkata ia sentiasa mengadakan pertemuan dengan pelarian dan wakil komuniti mereka, termasuk warga Iran, melalui saluran rasmi dan tidak rasmi. Agensi itu mengakui kekecewaan mereka yang tidak dapat pulang ke negara asal dengan selamat dan berkata ia sedang berusaha memperbaiki keadaan pencari suaka di Malaysia sambil mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.
“Melindungi pelarian adalah tanggungjawab seluruh masyarakat. Bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan pelarian, sektor swasta dan pihak berkuasa Malaysia, UNHCR sedang melakukan segala yang termampu untuk melindungi pelarian di mana sahaja mereka berada dan walau selama mana pun masa diperlukan untuk menyelesaikan nasib malang yang mereka hadapi,” kata organisasi itu dalam jawapan menerusi emel.



