PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan bermula 1 Jun, sekali gus memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata bagi fasa permulaan, pengeluaran pasport baharu itu akan melibatkan empat pejabat, iaitu Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya, Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju dan Pejabat Imigresen Shah Alam.
Beliau berkata pelaksanaan pengeluaran PMA baharu itu akan dibuat secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada Julai. “Sebelum ini (pasport) kita ada 49 ciri keselamatan, tetapi untuk yang baharu kita tingkatkan hampir satu kali ganda, iaitu 94 ciri keselamatan.
“Ini bertujuan meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan supaya pasport kita ini lebih selamat dan lebih sukar untuk dipalsukan,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM 2025.
Mengulas aspek keselamatan baharu, Zakaria berkata PMA baharu dinaik taraf dari segi aspek hologram, cetakan ultraviolet (UV), elemen visual tersembunyi dan beberapa ciri forensik khas yang sukar dipalsukan. “Benang yang menjahit buku pasport itu pun ada ciri keselamatan, dengan setiap helaian itu berbeza-beza,” katanya.
Zakaria mengingatkan orang ramai untuk tidak tergesa-gesa menukar PMA baharu kerana pasport lama dengan tempoh sah lebih enam bulan, masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar. “Pasport itu sekiranya masih lagi dalam tempoh sah laku, iaitu melebihi enam bulan, mereka tidak perlu tukar sekarang kerana boleh ditukar selepas tempohnya tamat,” katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata proses permohonan PMA baharu juga boleh dilaksanakan secara dalam talian, namun bergantung kepada kapasiti di pejabat pasport berkenaan. Beliau turut mengingatkan orang ramai yang membuat pasport secara dalam talian untuk menggunakan gambar sebenar dan tidak menggunakan gambar yang diubah suai dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Saya ingin tegaskan supaya pemohon-pemohon pasport tidak menggunakan gambar dengan teknologi AI. “Kita ada kesan beberapa kes, mungkin dia nak gambar cantik atau yang gelap jadi cerah, yang kurang handsome nak bagi handsome, jadi dia menggunakan AI,” katanya sambil menambah pegawai Imigresen mempunyai kepakaran mengesan penggunaan gambar AI.
Pada awal tahun ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara. Beliau berkata pengenalan dokumen baharu itu satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia. Untuk rekod, PMA berada di tangga ketiga pada 2025 sebagai antara pasport berkuasa di dunia.



