OpenAI, syarikat kecerdasan buatan (AI) di sebalik ChatGPT, hari ini mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak S$300 juta (RM1.19 bilion) untuk memperkukuh ekosistem AI di Singapura.
Kerjasama dengan MDDI
Inisiatif yang dinamakan OpenAI for Singapore ini dilancarkan bersama Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan (MDDI) bagi menyokong aspirasi Singapura menjadi ekonomi berkuasa AI di bawah Strategi AI Nasional negara itu.
Fokus utama inisiatif ini merangkumi tiga bidang: menyokong organisasi di Singapura dalam menggunakan AI termaju untuk menangani cabaran kompleks, membangunkan bakat AI tempatan generasi akan datang, serta membolehkan lebih ramai individu dan perniagaan di republik itu mendapat manfaat daripada AI.
Kenyataan Ketua Pegawai Hasil OpenAI
Ketua Pegawai Hasil OpenAI, Denise Dresser, berkata Singapura mempunyai bakat teknikal yang kuat, institusi yang dipercayai, dan aspirasi jelas untuk menggunakan AI bagi memacu pertumbuhan jangka panjang serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Melalui OpenAI for Singapore, kami mahu membantu lebih banyak organisasi mendapat manfaat daripada AI termaju, menyokong generasi baharu bakat AI tempatan, dan meluaskan akses kepada alat ini di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Makmal AI Gunaan pertama di luar AS
Menurut OpenAI, perkongsian ini akan menyaksikan penubuhan Makmal AI Gunaan (Applied AI Lab) di Singapura, menjadikannya kemudahan pertama seumpamanya di luar Amerika Syarikat.
Langkah ini dijangka mewujudkan lebih daripada 200 peranan teknikal di Singapura dalam tempoh beberapa tahun akan datang, memposisikan republik itu sebagai salah satu hab global untuk Jurutera Ditempatkan Ke Hadapan (Forward-Deployed Engineers).
"Melalui perkongsian ini, makmal tersebut akan menyokong kerja yang selaras dengan keutamaan Misi AI Singapura, terutamanya dalam bidang seperti perkhidmatan awam, kewangan, penjagaan kesihatan, dan infrastruktur digital.
"Apabila kerja ini berkembang dan pasukan kami di Singapura bertambah, kami juga menjangkakan untuk menambah ruang pejabat kami di negara itu dari semasa ke semasa," tambahnya. — Bernama



