MMEA selamatkan 23 PATI bot karam di perairan Pulau Pangkor
MMEA selamatkan 23 PATI bot karam di Pulau Pangkor

IPOH, 12 Mei — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) berjaya menyelamatkan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor berhampiran Lumut semalam.

Operasi menyelamat

Pengarah MMEA Perak, Maritim Kapten Mohamad Shukri Khotob, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemui beberapa mangsa terapung di laut dan segera meminta bantuan. Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan dua aset MMEA dikerahkan, dibantu oleh Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, dan komuniti nelayan tempatan.

“Sebuah bot nelayan tempatan berjaya menyelamatkan 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita, yang kesemuanya telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Mangsa masih hilang

Mohamad Shukri berkata siasatan awal mendapati 37 PATI dipercayai berada di dalam bot tersebut. Daripada jumlah itu, 23 individu diselamatkan, manakala mangsa lain masih hilang dan operasi SAR sedang dijalankan. Beliau menambah pihak berkuasa juga menemui tiga beg berisi pakaian yang dipercayai milik mangsa, dan proses pengecaman sedang dilakukan ke atas mangsa yang terselamat.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia, dengan destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Tangkapan bot nelayan

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Shukri berkata MMEA menahan sebuah bot nelayan Kelas C dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Ahad lepas. Bot tersebut dipintas kira-kira 5.2 batu nautika tenggara Pulau Samak pada pukul 6.39 petang. Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tiga kru warga Myanmar, termasuk seorang nakhoda, berusia antara 42 hingga 45 tahun.

“Kesemua kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam lingkungan kurang daripada 15 batu nautika dari garisan pantai terdekat, serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mohamad Shukri menambah kru, bot, peralatan menangkap ikan, dan hasil laut yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta telah dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Kampung Acheh untuk siasatan lanjut. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga