KUALA LUMPUR, 12 Mei — Sebanyak 57 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini bersedia untuk meneruskan pelayaran bantuan kemanusiaan mereka ke Gaza. Pusat Perintah Sumud Nusantara (SNCC) mengumumkan bahawa 30 kapal GSF telah selamat tiba dari pulau Crete, Greece di Pelabuhan Marmaris, Turkiye pada jam 2 pagi Ahad.
Persiapan Akhir Sebelum Pelayaran
Menurut Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, kapal-kapal tersebut telah bergabung dengan kapal GSF sedia ada di Pelabuhan Marmaris, menjadikan jumlah keseluruhan 57 kapal. "SNCC mengesahkan bahawa semua anak kapal sedang melalui proses penyelarasan yang melibatkan pengaturan peserta, keperluan logistik, teknikal pelayaran dan persiapan akhir sebelum flotilla meneruskan fasa terakhir pelayaran," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut mengesahkan bahawa semua peserta Malaysia berada dalam keadaan baik, stabil dan bersedia untuk meneruskan misi kemanusiaan bersama delegasi antarabangsa yang lain.
Pembebasan Dua Aktivis Antrabangsa
Sementara itu, SNCC mengesahkan bahawa dua aktivis kemanusiaan antarabangsa dan ahli jawatankuasa pemandu GSF, Thiago Ávila dan Saif Abukeshek, telah dibebaskan semalam selepas ditahan di perairan antarabangsa berhampiran Greece selama 11 hari sejak 30 April oleh pihak berkuasa rejim.
Dr Sani Araby menyatakan bahawa pemintasan kapal GSF di perairan antarabangsa dan penahanan dua aktivis itu merupakan pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa. "Pada masa yang sama, ia mencerminkan realiti yang lebih luas mengenai penahanan berterusan lebih 9,500 rakyat Palestin di penjara tanpa proses kehakiman yang sewajarnya, termasuk berdepan risiko hukuman mati berikutan undang-undang baru yang baru diluluskan oleh Knesset (parlimen Israel)," katanya.
Penglibatan Rakyat Malaysia
Pada 30 April, Dr Sani Araby mengesahkan bahawa enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh oleh pasukan rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza melibatkan 10 rakyat Malaysia, iaitu Zainal Rashid Ahmad di atas Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Juga terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, yang masing-masing berada di atas Freia dan Marea, serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Koridor Maritim Kemanusiaan
Dr Sani Araby menegaskan bahawa misi semasa menekankan usaha untuk mendorong pengiktirafan koridor maritim kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
Beliau juga menyeru rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh usaha advokasi bagi pembebasan Gaza dan Palestin dengan mempergiatkan usaha menyebarkan fakta yang disahkan, menentang propaganda rejim dan meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media dan media sosial.
"SNCC juga menggesa rakyat Malaysia untuk terus melakukan doa khas, Qunut Nazilah dan doa berterusan untuk keselamatan seluruh delegasi misi dan kejayaan usaha membebaskan Gaza. Sebarang penyebaran maklumat mesti berpandukan sumber yang sahih dan berwibawa serta disertai dengan usaha advokasi berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.
GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan pergerakan mobilisasi global di darat, termasuk advokasi undang-undang dan kempen solidariti di pelbagai negara yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai respons kepada krisis kemanusiaan yang semakin teruk di wilayah itu. — Bernama



