Hukuman penjara bekas PM Korea Selatan dikurang kepada 15 tahun
Hukuman penjara bekas PM Korea Selatan dikurang 15 tahun

Mahkamah Rayuan pada Khamis mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri Korea Selatan, Han Duck-soo daripada 23 tahun kepada 15 tahun atas peranannya dalam pengisytiharan singkat undang-undang tentera oleh bekas presiden, Yoon Suk Yeol, lapor Agensi Berita Yonhap.

Keputusan Mahkamah Tinggi Seoul

Mahkamah Tinggi Seoul menjatuhkan hukuman itu selepas mengekalkan sabitan terhadap Han atas kesalahan membantu dan bersubahat dengan Yoon dalam pemberontakan susulan pengisytiharan undang-undang tentera pada Disember 2024. Han didakwa oleh pasukan pendakwa khas, Cho Eun-suk atas beberapa pertuduhan, termasuk mencadangkan Yoon mengadakan mesyuarat Kabinet sebelum mengisytiharkan undang-undang tentera bagi menjadikannya kelihatan sah.

Beliau turut didakwa cuba mendapatkan tandatangan anggota Kabinet pada dokumen berkaitan undang-undang tentera dan meneliti pelaksanaan arahan Yoon untuk memutuskan bekalan elektrik serta air kepada saluran media yang mengkritik kerajaan ketika itu. Selain itu, Han dituduh menandatangani pengisytiharan undang-undang tentera yang disemak semula selepas dekri berkenaan ditarik balik, serta berbohong ketika memberi keterangan bersumpah dalam perbicaraan pemecatan Yoon di Mahkamah Perlembagaan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Penghakiman Mahkamah Rayuan

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya berkata, Han didapati bersalah atas semua pertuduhan, selaras keputusan mahkamah rendah. Tetapi, mahkamah membatalkan sebahagian keputusan itu dengan membebaskan Han daripada tuduhan sumpah bohong berkaitan kenyataan beliau tidak melihat bekas menteri pertahanan, Kim Yong-hyun menyerahkan dokumen berkaitan undang-undang tentera kepada bekas menteri dalam negeri, Lee Sang-min.

Peguam Han kemudian memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Agung. Han ditahan sejak Januari lalu selepas mahkamah rendah menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun terhadapnya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga