BANGKOK, 3 Jun — Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra bakal dibebaskan sepenuhnya daripada hukuman penjara di bawah pengampunan diraja yang dikurniakan sempena hari jadi Permaisuri Suthida pada Rabu.
Menteri Kehakiman Thailand, Pol Lt Jen Rutthapon Naowarat, berkata nama Thaksin disenaraikan dalam kalangan individu yang menerima pengampunan diraja selepas penerbitan di Warta Diraja suatu Perintah Diraja oleh Raja Maha Vajiralongkorn yang mengeluarkan Dekri Pengampunan Diraja 2026.
Rutthapon berkata, di bawah Seksyen 8 dekri tersebut, Thaksin akan segera dibebaskan daripada baki hukuman kerana tempoh hukumannya kurang daripada setahun.
“Thaksin akan dapat menanggalkan gelang pemantauan elektroniknya dengan serta-merta. Walau bagaimanapun, masih ada prosedur pentadbiran yang perlu diselesaikan, termasuk pertimbangan oleh jawatankuasa wilayah yang ditubuhkan untuk menyemak kes sebegini,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Pengampunan diraja secara tradisinya diberikan kepada banduan yang layak pada hari kebesaran negara, termasuk hari jadi diraja dan acara peringatan penting lain. Dekri tahun ini dikeluarkan sempena hari jadi Permaisuri Suthida.
Pada 11 Mei, Thaksin, 76, dibebaskan secara parol dari penjara selepas menjalani lapan bulan daripada hukuman setahun di Penjara Pusat Klong Prem di sini.
Jabatan Pemulihan Thailand mengumumkan parol Thaksin, dengan memetik usia dan keadaan kesihatannya, serta fakta bahawa dia telah menjalani lapan bulan hukumannya, sebagai alasan untuk pembebasan awalnya.
Thaksin dipenjarakan selepas Mahkamah Agung memutuskan tahun lalu bahawa dia tidak menjalani hukuman 2023 dengan betul di wad hospital berbanding di dalam sel penjara.
Beliau dipilih sebagai perdana menteri pada 2001 dan sekali lagi pada 2005, dan pergi ke buangan selepas penggal keduanya dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera.
Selepas kembali ke Thailand pada Ogos 2023, beliau dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi kemudian menerima pengampunan diraja yang mengurangkan hukumannya kepada satu tahun.
Daripada menjalani hukuman di penjara, beliau dipindahkan ke bilik peribadi di hospital atas alasan kesihatan. Hukumannya dikurangkan kepada satu tahun melalui pengampunan diraja, dan beliau dibebaskan di bawah skim pembebasan awal bagi banduan warga emas. — Bernama



