Anwar puji peranan Pakistan dalam rundingan Iran-AS, sokong diplomasi aman Asia Barat
Anwar puji peranan Pakistan dalam rundingan Iran-AS

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Malaysia menghargai peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat, termasuk kesediaan negara itu menjadi tuan rumah pusingan seterusnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, semalam. Mereka turut menyentuh pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan.

“Dalam perbualan telefon dengan rakan sejawat saya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, kami membincangkan pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang telah lama terjalin.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Saya juga menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau dan rakyat Pakistan, dengan harapan semangat pengorbanan dan persaudaraan terus mengukuhkan keamanan dan kemakmuran ummah,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook semalam.

Anwar menambah, beliau dan Shehbaz turut menyentuh perkembangan positif dalam rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang sangat penting untuk kestabilan dan keselamatan perdagangan serantau.

“Dalam hal ini, Malaysia tetap teguh pada pandangan bahawa semua pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan aman bagi memastikan kestabilan rantau Asia Barat,” katanya.

Anwar berkata, beliau dan Shehbaz turut membincangkan kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan serta kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan.

“Insya-Allah, hubungan antara Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berdasarkan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan dan kemakmuran global,” tambahnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga