Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin mendesak agar Fasa 2 Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) disiapkan dengan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
Beliau berkata, kelewatan projek menyebabkan penduduk terus menghadapi kesesakan lalu lintas, keadaan jalan raya yang tidak selamat, dan risiko keselamatan di tapak pembinaan termasuk aliran lumpur dan potensi tanah runtuh.
“Penduduk di kawasan saya sudah menunggu terlalu lama, dan mereka mahu projek ini disiapkan dengan cepat demi kemudahan harian, lalu lintas yang lebih lancar, dan keselamatan mereka yang tinggal berhampiran kawasan projek,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke lebuh raya itu semalam.
Lawatan itu turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Hadzmir Yusoff; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, Muhammad Razman Abu Samah; dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan WZR, Wan Nadzir Wan Mohamad.
Projek sepanjang lapan kilometer itu pada asalnya dijadual siap pada 2019, tetapi tertangguh akibat pandemik Covid-19. Ia kemudian dijadual semula untuk siap pada Mac tahun ini sebelum ditangguhkan lagi ke hujung tahun.
Mohd Kamri berkata, lawatan tapak semalam menunjukkan banyak kerja pembinaan masih belum siap, dengan kerja dilaporkan terhenti sejak minggu lalu.
“Saya masih ingat ketika Perdana Menteri merasmikan EKVE Fasa 1 sebelum ini, PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam ucapannya berkata, ‘Fasa 2 kena jaga… kalau lambat, kamu jaga!’
“Jika kelewatan berterusan, risiko peningkatan kos projek akan meningkat dan akhirnya menjejaskan pelaksanaan keseluruhan projek termasuk kepentingan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Undang-Undang dan Hal Ehwal Korporat Kumpulan WZR, Ahmad Fazli Ahamad Nordin berkata, kelewatan menyiapkan lebuh raya itu disebabkan masalah aliran tunai serta kenaikan mendadak kos bahan binaan utama seperti bitumen, premix, konkrit dan crusher run.
“Disebabkan kekangan aliran tunai yang dihadapi syarikat konsesi, WZR selaku kontraktor utama tiada pilihan selain menghentikan sementara aktiviti pembinaan di tapak.
“Jika isu ini dapat diselesaikan dengan cepat oleh bank, kami akan dapat menyambung semula kerja di tapak projek secepat mungkin dan menyiapkan lebuh raya seperti yang dijadualkan,” katanya. — Bernama



