Aduan Rohingya perlu disalurkan kepada pihak berkuasa - Ketua Polis Perak
Aduan Rohingya perlu disalurkan kepada pihak berkuasa

IPOH, 12 Jun — Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap etnik Rohingya, sebaliknya menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan yang sewajarnya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sebarang salah laku oleh etnik Rohingya hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang sedia ada.

“Jika terdapat salah laku oleh Rohingya, mereka (orang ramai) hendaklah membuat laporan polis terlebih dahulu supaya polis sendiri boleh mengambil tindakan yang sesuai,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis penyerahan jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak di Mess Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Mohd Alwi berkata, bagaimanapun, setakat ini jabatannya tidak menerima sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau salah laku yang dilakukan oleh etnik Rohingya di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen menangkap Rohingya di Perak yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ditanya mengenai bandar Manjung antara yang paling dikenal pasti mempunyai penempatan etnik Rohingya, Mohd Alwi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri jika terdapat perkara yang memerlukan bantuan atau tindakan daripada pihak berkuasa.

“Kami akan sentiasa melakukan pemantauan secara berkala terhadap etnik Rohingya,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, daerah Manjung yang pesat membangun dengan industri pembinaan dan perkapalan dipercayai mempunyai etnik Rohingya terbesar di negeri ini dengan kebanyakan mereka memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Saarani berkata, peningkatan jumlah etnik yang berasal dari barat Myanmar itu secara tidak langsung boleh memberi implikasi kepada penduduk tempatan, termasuk keselamatan.

Terdahulu, timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan/Undang-Undang) Superintendan Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik sebagai pemangku ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, menggantikan ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah yang akan bersara pada 18 Jun. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga