Fahmi kesal Lee letak jawatan MPP PKR
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyuarakan rasa kesal atas peletakan jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu hari ini. Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Lee sepatutnya menggunakan majlis itu sebagai platform untuk berkongsi pandangan berbeza mengenai hala tuju parti.
Katanya, majlis tersebut merangkumi ahli yang mempunyai pendapat berbeza, termasuk bekas Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong. “Seringkali dalam mesyuarat-mesyuarat MPP, (Wong) menyatakan pandangan yang jauh berbeza daripada pandangan presiden ataupun yang lain,” katanya pada sidang media kementeriannya hari ini.
“Pada satu ketika, (Wong) daripada kumpulan yang dikatakan berbeza, tetapi beliau tetap datang (mesyuarat), dan tetap berpegang pada prinsip untuk menyatakan pendirian … platform itulah yang beliau gunakan untuk pastikan parti kekal di landasan yang betul.” Lee sepatutnya melakukan perkara yang sama, kata Fahmi.
Fahmi juga berkata, Lee perlu menjelaskan keputusannya untuk meninggalkan majlis itu kepada pengundi Petaling Jaya, khususnya ahli PKR. Awal hari ini, Lee mengumumkan meletak jawatan daripada majlis yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti, namun berkata beliau akan kekal sebagai ahli PKR dan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.
Beliau membuat keputusan sedemikian seminggu selepas beliau kehilangan akses kepada MyKhas, portal yang menguruskan peruntukan Parlimen. Lee berkata, penarikan balik aksesnya pada 29 Mei telah ‘menghukum’ pengundi Petaling Jaya kerana menghalangnya daripada menguruskan dana dan program kawasan.
Menjawab dakwaan itu, Fahmi berkata, Lee tidak membangkitkan perkara tersebut kepadanya. “Dalam apa-apa perkara, boleh datang berbincanglah … hendak seribu daya, tak nak seribu dalih,” tambahnya.



