PETALING JAYA: Empat orang pelajar yang menaiki sebuah motosikal mengalami kecederaan parah selepas kenderaan mereka berlanggar dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, Kampung Pek di Machang pagi tadi. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan Muskir Rosli, 14, yang menunggang motosikal dan adiknya Mas Siti Rosnani Rosli, 7, serta dua orang saudara mereka, Hakikat Abdul Rahman, 9; dan Zulhaqif Zulkifli, 12, cedera parah, lapor Harian Metro.
Difahamkan, Muskir merupakan pelajar di SMK Seri Intan manakala tiga pembonceng motosikal itu bersekolah di SK Kampung Pek. Ketua Polis Machang, Azuhar Md Nor, berkata siasatan awal mendapati sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu oleh seorang guru wanita dari arah Machang menghala ke Kuala Krai sebelum berlanggar dengan motosikal Honda C100 yang dinaiki semua mangsa dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang sekolah sebelum melanggar bahagian hadapan sisi kanan kereta yang sedang melalui laluan sah,” katanya. Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan semua mangsa mengalami kecederaan parah dan mereka dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Beliau menambah bahawa guru wanita berusia 39 tahun yang memandu kereta Honda Jazz itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Azuhar juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-9751222.



