Sabah rangka Pelan Induk Hutan 25 tahun, kata Hajiji
Sabah rangka Pelan Induk Hutan 25 tahun

Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan sebagai garis panduan pengurusan sumber hutan negeri bagi tempoh 25 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Langkah Strategik Pengurusan Hutan

Menurut Hajiji, inisiatif yang dilaksanakan menerusi Jabatan Perhutanan Sabah itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melaksanakan rasionalisasi guna tanah demi keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan konservasi alam sekitar.

Perlindungan Kawasan Ekologi Sensitif

“Dengan tersedianya Pelan Induk Hutan ini kelak, kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif tetap dilindungi tanpa mengabaikan pembangunan sosioekonomi mampan untuk kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau menjelaskan bahawa perkara ini seiring dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau.

Komitmen Mengekalkan Litupan Hutan

Hajiji berkata, kerajaan Sabah sentiasa komited mengekalkan 50% kawasan litupan hutan negeri, selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018. Ketika ini, Sabah masih mengekalkan 63% kawasan litupan hutan negeri yang meliputi 3.85 juta hektar tanah diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.

Program Restorasi Guna Tanah

Sebagai manifestasi terhadap keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber asli, kerajaan negeri dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Fasiliti Alam Sekitar Antarabangsa akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi yang meliputi kawasan seluas 2.1 juta hektar.

“Ia akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit, di samping mengekalkan kawasan konservasi hutan bernilai tinggi untuk faedah alam sekitar dan pembangunan,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Hajiji turut menyampaikan 1,136 geran tanah anak negeri bagi Parlimen Pensiangan dengan keluasan 2,303.84 hektar.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga