SHAH ALAM – Kerajaan Selangor, melalui Smartsel Sdn Bhd, sedang memperhalusi model baharu untuk pelaksanaan semula inisiatif WiFi Smart Selangor (WSS) dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan pengguna yang berubah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Inovasi Negeri, Mohd Fahmi Ngah, berkata model WiFi percuma baharu itu juga akan mempertimbangkan tahap penggunaan di setiap lokasi, kapasiti infrastruktur, serta mekanisme pembiayaan dan operasi yang lebih mampan.
Kerjasama dengan penyedia telekomunikasi
“Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan ini, model WiFi awam percuma baharu sedang dibangunkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan untuk pelaksanaan di masjid di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Inisiatif baharu ini bukan sahaja percuma tetapi juga dilengkapi ciri keselamatan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan hanya maklumat yang berilmu, sahih, berfakta dan patuh syariah boleh diakses dalam kawasan masjid,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menjawab soalan wakil rakyat
Beliau menjawab soalan daripada Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) yang ingin mengetahui perkembangan pelaksanaan inisiatif WSS selepas perkhidmatan itu ditamatkan pada 31 Disember 2024.
Mohd Fahmi berkata model baharu itu dibangunkan selepas kerajaan negeri memutuskan untuk mengamalkan model penyampaian perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Latar belakang penamatan WSS
Perkhidmatan WSS yang diperkenalkan pada 2015 untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat, dihentikan selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-16 pada 29 Mei 2024 meluluskan rancangan penamatan secara berperingkat.
Tiada lokasi WSS yang diaktifkan semula sejak perkhidmatan itu secara rasmi ditamatkan pada 31 Disember 2024, melibatkan 1,470 lokasi di bawah model pelaksanaan sebelumnya.
Alternatif NADI
Bagaimanapun, MCMC telah menubuhkan 84 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Selangor bagi memastikan penyediaan akses internet percuma di kawasan luar bandar diteruskan.



