IPOH: Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang tular di media sosial membuang puntung rokok dari kenderaan majlis akan berdepan tindakan tatatertib dan perintah khidmat masyarakat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini.
Tindakan tegas terhadap pembuangan sampah
Beliau menegaskan tiada pihak yang berada di atas undang-undang dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan membuang sampah di tempat awam. "Bukan sahaja perintah khidmat masyarakat akan dikenakan, tindakan tatatertib juga mesti diambil. Sebagai kakitangan PBT, mereka diwajibkan menjadi contoh dan teladan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pengeri selepas majlis penyerahan surat lantikan kepada 160 pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina, Perak, di sini.
Undang-undang sama rata untuk semua
"Saya telah nyatakan berkali-kali bahawa sama ada Tan Sri, Datuk Seri, pekerja atau mana-mana kakitangan, undang-undang adalah sama dan adil untuk semua," tegas Nga.
MBSA dalam kenyataan semalam memaklumkan kes itu telah dirujuk kepada bahagian integriti MBSA mengikut Peraturan-Peraturan (Kelakuan & Disiplin) Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam 2023.
Video yang tular di media sosial menunjukkan seorang individu membuang puntung rokok dari kenderaan yang mempunyai nama dan logo MBSA semasa berhenti di lampu isyarat. Timbul persoalan sama ada anggota agensi itu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan seperti yang dikenakan ke atas orang awam bagi kesalahan serupa.
Nga memaklumkan setakat ini, 3,000 individu telah dikenakan perintah khidmat masyarakat kerana kesalahan membuang sampah.



