Polis Pulau Pinang buru pencuri kabel selepas video viral
Polis Pulau Pinang buru pencuri kabel selepas video viral

GEORGE TOWN, 2 Jun — Polis sedang giat memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kecurian kabel telekomunikasi di Jalan Batu Uban di sini, selepas satu video kejadian itu tular di media sosial hari ini.

Laporan Polis Diterima

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada Telekom Malaysia (TM) pada pukul 10.50 pagi tadi.

“Pengadu, seorang juruteknik TM berusia 41 tahun, memaklumkan bahawa beliau melihat video tular berdurasi satu minit 24 saat sekitar jam 7 pagi yang memaparkan kejadian kecurian kabel di tepi jalan di Jalan Batu Uban 1, Gelugor.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Selepas itu, pengadu melakukan pemeriksaan di lokasi dan mendapati kabel telekomunikasi TM sepanjang kira-kira 70 meter bernilai RM17,000 telah dipotong dan dicuri,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan Di Bawah Kanun Keseksaan

Beliau menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lee berkata, suspek dipercayai menggunakan sebuah kereta Mazda 6 Hatchback berwarna gelap ketika melakukan jenayah itu, dan setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-228 2222 atau 04-218 1881.

Video Viral Menunjukkan Pengejaran

Berdasarkan rakaman video tular, sebuah kereta berwarna gelap kelihatan dikejar oleh beberapa individu menaiki motosikal selepas kenderaan itu disyaki terlibat dalam aktiviti kecurian kabel di kawasan tersebut. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga