Pelancong New Zealand patah kaki dilanggar motosikal ketika melintas di Chow Kit
Pelancong NZ patah kaki dilanggar motosikal di Chow Kit

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Seorang pelancong lelaki dari New Zealand mengalami patah kaki kanan selepas dilanggar sebuah motosikal ketika dipercayai melintas jalan di Jalan Chow Kit menghala ke Sogo di sini awal pagi tadi.

Kronologi kejadian

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam 2.37 pagi, membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dan pelancong lelaki berusia 49 tahun dari New Zealand.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki, manakala pejalan kaki pula mengalami patah kaki kanan, kecederaan di belakang kepala dan bengkak di tangan kanan, dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Siasatan awal

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahawa pejalan kaki tersebut tiba-tiba melintas jalan di lokasi yang bukan merupakan lintasan pejalan kaki yang ditetapkan, menyebabkan perlanggaran dengan motosikal itu.

Menurutnya, kedua-dua individu yang terlibat telah dikenal pasti, dengan pelancong tersebut masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala penunggang motosikal telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

“JSPT Kuala Lumpur juga telah menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV), melawat tempat kejadian dan merakam keterangan daripada mereka yang terlibat sebagai sebahagian daripada siasatan,” katanya, sambil menambah bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga