MELAKA, 9 Mei — Kementerian Komunikasi akan menyalurkan peruntukan kepada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan Madani Komuniti bagi melaksanakan program jangkauan bersasar untuk peniaga di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang, di sini.
Program latihan untuk peniaga kecil
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata lawatan beliau hari ini mendapati ramai peniaga meminta kelas jualan dalam talian, serta bantuan permohonan Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI) Individu untuk diesel.
“Bagi peniaga kecil, ada yang mungkin tidak tahu cara memohon BUDI Individu. Ini antara perkara yang perlu diperkukuh, termasuk melalui Madani Komuniti.
“Keusahawanan adalah salah satu daripada lima tonggak utama di Nadi, termasuk jualan dalam talian, jadi kami telah meminta Nadi menyediakan latihan asas untuk peniaga di sini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Jiwa@Komuniti Madani: Sembang Santai Parlimen Hang Tuah Jaya di pasar berkenaan.
Kehadiran pegawai kanan
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Agung Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Nik Kamaruzaman Nik Husin, dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan.
Pada program itu, Fahmi menghabiskan lebih dua jam beramah mesra dengan peniaga di gerai makanan, serta penjual barangan basah dan kering. — Bernama



