Jawatankuasa Khas Perak dibentuk tangani kecurian kabel, vandalisme infrastruktur telekomunikasi
Perak tubuh jawatankuasa khas tangani kecurian kabel, vandalisme telekom

IPOH, 25 Mei — Kerajaan Negeri Perak telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri Perak untuk memperkukuhkan kerjasama dengan agensi dalam menangani isu kecurian kabel, lubang terbuka dan vandalisme infrastruktur telekomunikasi.

Penubuhan jawatankuasa pada 12 Mei

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi, berkata jawatankuasa yang ditubuhkan pada 12 Mei itu akan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan pencegahan berkaitan masalah tersebut.

“Kami memandang serius peningkatan kes kecurian kabel, lubang terbuka dan vandalisme infrastruktur telekomunikasi yang memberi kesan langsung kepada keselamatan awam dan kestabilan rangkaian komunikasi di Perak.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Jawatankuasa ini melibatkan kerjasama Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), polis, Telekom Malaysia (TM) dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah MCMC Perak, Mohd Irwan Mohamed, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Peningkatan 68 peratus lubang terbuka

Azlan berkata, berdasarkan data terkini TM sehingga Mac tahun ini, sebanyak 377 lubang terbuka telah direkodkan, peningkatan 68 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pihaknya percaya trend peningkatan ketara ini didorong oleh nilai pasaran tembaga yang tinggi, yang menyebabkan kecurian kabel bawah tanah dan vandalisme kemudahan telekomunikasi di negeri itu.

Oleh itu, bagi memastikan perkara itu dapat ditangani dengan lebih berkesan, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan undang-undang yang lebih ketat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Di bawah peruntukan ini, ia bukan sahaja melibatkan kecurian kabel, tetapi sesiapa yang didapati merosak, mengganggu atau mensabotaj infrastruktur telekomunikasi juga boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran sedia ada seperti talian bantuan TM, laporan polis atau portal MCMC, termasuk menyerahkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk memudahkan pendakwaan pesalah. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga