Dari bilik bedah ke ladang ternakan: Dr Saedah cari ketenangan baharu
Dari bilik bedah ke ladang ternakan: Dr Saedah cari ketenangan

BACHOK, 17 Mei — Jika dahulu hidupnya dipenuhi tekanan dan adrenalin menyelamatkan pesakit di bilik bedah, bekas pakar bius jantung di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kini menemui ketenangan baharu dalam penternakan kambing biri-biri dan kambing.

Dr Saedah Ali, 59, yang memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan pada 1992 dan terlibat dalam perintis perkhidmatan pembedahan jantung di HPUSM pada 2001, menceburi bidang penternakan pada Jun 2018, kira-kira empat tahun sebelum mengambil persaraan pilihan pada 2022.

Beliau berkata minatnya dalam bidang ini tercetus selepas melihat tanah pusaka arwah bapanya seluas 1 hektar (2.5 ekar) terbiar ditumbuhi semak samun, mendorongnya untuk mengembangkannya menjadi ladang ternakan sebagai aktiviti sampingan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Pada mulanya, saya hanya menyewakan tanah kepada penduduk kampung dengan bayaran kira-kira RM100 setahun, tetapi lama-kelamaan, saya mengembangkan idea untuk menceburi penternakan kerana ia juga dianggap sebagai sunnah.

“Ada bentuk komunikasi dan ikatan emosi apabila menternak. Walaupun memenatkan, terutamanya apabila terpaksa berjaga malam ketika haiwan sakit atau melahirkan anak, ia sebenarnya menjadi terapi untuk melegakan tekanan kerja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, tekanan sebagai pakar bius sangat berbeza dengan tekanan menguruskan ternakan.

Bermula dengan hanya lapan ekor kambing, ladang yang diusahakannya kini berkembang hingga memiliki kira-kira 250 ekor biri-biri dan 90 ekor kambing.

Dr Saedah berkata beliau memberi tumpuan kepada baka Dorper, iaitu kacukan antara biri-biri Dorset dan Persian Blackhead yang dikenali sebagai baka daging premium, dengan hampir 90 peratus stok pembiakan diimport dari Australia.

Selain biri-biri, beliau juga menternak kambing Boer dan kacukan Boer untuk pengeluaran daging. Bagi memastikan kos operasi cekap dan mampan, beliau mengutamakan penggunaan sumber makanan semula jadi dengan mengurangkan kebergantungan kepada dedak dan pelet.

“Lebih 70 peratus makanan ternakan di ladang ini terdiri daripada rumput Napier dan rumput Bermuda yang ditanam di tapak, selain silaj iaitu rumput yang difermentasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui industri penternakan tempatan kini berdepan pelbagai cabaran, termasuk kemasukan kambing import murah yang menjejaskan penternak tempatan.

Menurutnya, sebahagian ternakan import dipercayai terdiri daripada kambing yang lebih tua atau berkualiti rendah, namun tetap mendapat permintaan kerana harganya lebih murah.

“Sejak tiga hingga empat tahun lepas, ramai penternak tempatan terpaksa tutup kerana kos operasi tidak dapat ditampung oleh harga jualan semasa.

“Selain itu, kami juga berdepan kenaikan harga makanan ternakan akibat faktor geopolitik global, serta cabaran cuaca seperti kemarau dan banjir,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dan agensi berkaitan campur tangan dengan memperkenalkan kawalan terhadap kemasukan bekalan import bagi melindungi industri ternakan tempatan dan mengukuhkan keselamatan makanan negara.

Selain menjana pendapatan, ladang Dr Saedah turut menyumbang kepada komuniti setempat melalui kerjasama Inisiatif Sosial Korporat (CSI) dengan pihak penjara dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan parol sejak dua tahun lepas.

Menurutnya, ladang itu juga sering menjadi pusat latihan amali kepada pelajar dari pelbagai institusi pendidikan, termasuk Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, kolej vokasional dan Institut Pertanian Titi Gantung di Perak.

Kejayaannya dalam penternakan turut disokong suaminya yang merupakan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di HPUSM dan sering membantu merawat ternakan yang sakit selepas waktu kerja.

Mengakhiri temubual, Dr Saedah menasihatkan para profesional supaya melibatkan diri dalam aktiviti luar atau hobi bagi mengelakkan tekanan kerja yang berlebihan.

“Profesional amat memerlukan aktiviti luar untuk mengelakkan keletihan. Sama ada berkebun, memancing atau menternak, cari aktiviti yang anda gemari supaya apabila bersara nanti, anda kekal aktif dan sihat,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga