PONTIAN, 29 April — Polis telah mengesahkan bahawa pemandu van sekolah yang muncul dalam video tular menunjukkan kenderaan itu dipandu melawan arus telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Pemandu berusia 64 tahun ditahan
Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata lelaki berusia 64 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk merakamkan kenyataannya.
Beliau menambah bahawa van sekolah yang terlibat dalam kejadian itu turut disita.
Siasatan lanjut
Mengulas lanjut, Hadzrat berkata polis mengesan rakaman tular itu di laman Facebook "Geng Pontian" pada jam 7.55 pagi semalam.
Beliau menyatakan bahawa siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada hari Isnin jam 2.03 petang, di jalan susur menuju persimpangan Jalan Pontian Utama, berhampiran kilometer 55.9 Jalan Pontian di Johor.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.



