Penutupan 30 ladang babi Tanjong Sepat fasa akhir, 11,000 babi tinggal
Penutupan 30 ladang babi Tanjong Sepat fasa akhir, 11,000 babi tinggal

Penutupan 30 ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat kini memasuki fasa akhir dengan hanya 11,000 ekor babi yang masih tinggal dan dijangka selesai sepenuhnya tidak lama lagi.

Proses Penutupan Berperingkat

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata penutupan melibatkan kira-kira 30 ladang yang masih beroperasi dalam pelbagai peringkat, selepas perintah pengosongan dikeluarkan berikutan baki ternakan belum cukup matang untuk dilupuskan sejak Februari lalu.

“Tiada anak babi baru dibawa masuk dan semua akan disembelih di rumah sembelih di Rawang. Jadi, proses ini dijalankan secara berperingkat dan kami jangka ia akan selesai tidak lama lagi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Chan Foong) serta saya baru-baru ini mengadakan mesyuarat.

“Peralihan ini penting untuk memastikan aktiviti pertanian bernilai tinggi dapat dijalankan di kawasan seluas 141.6 hektar itu,” katanya ketika ditemui di Program Korban Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Selangor (Wajar) di Surau Haji Hassan, Sijangkang, hari ini.

Bantuan Kerajaan Negeri dan Persekutuan

Menurut Izham Hashim, satu mesyuarat akan diadakan pada 9 Jun untuk meninjau langkah bantuan kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk usaha pemulihan tanah, selain membantu 87 pengusaha ladang yang terlibat beralih kepada aktiviti pertanian lain yang sesuai selepas operasi ternakan dihentikan sepenuhnya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah, dilaporkan berkata semua ladang babi di Tanjong Sepat akan ditutup sepenuhnya menjelang akhir bulan Jun sebelum fasa penguatkuasaan dilaksanakan bermula 1 Julai.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memberikan kelonggaran selama enam bulan kepada pengusaha terlibat untuk memberhentikan perniagaan mereka, termasuk menjual ternakan dalam tempoh yang diberikan.

Tindakan ini diambil untuk menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang tetap menentang sebarang aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah di Selangor. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga