Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, menegaskan bahawa konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu pada 25 April lalu bukanlah program anjuran kerajaan negeri, sebaliknya inisiatif peribadi.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak terlibat dalam aktiviti tersebut dan menekankan bahawa semua pihak perlu mematuhi peraturan, terutama di kawasan awam.
“Semua pihak mesti sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan, khususnya di lokasi sensitif seperti lapangan terbang.
“Kerjasama amat penting untuk menjamin keselamatan awam dan mengelakkan gangguan terhadap operasi di kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa lapangan terbang adalah lokasi strategik yang memerlukan tahap keselamatan tinggi bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial tular mengenai program “Konvoi & Lepak Mat Motor Bersama YB”, yang didakwa dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan dan Sayap Pemuda PAS Negeri dari pukul 5 petang hingga 7 malam.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan menyifatkan penglibatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan dalam menganjurkan konvoi ke LTSIP sebagai sangat tidak bertanggungjawab. — Bernama
Bacaan disyorkan: ‘Serves them right’: Wakil rakyat Kelantan berbangga konvoi motosikal guna ‘lorong tikus’ elak sekatan jalan raya polis



