Pendaki Jaslinda jatuh berkali-kali dalam hutan 14 hari, kata Bomba
Pendaki Jaslinda jatuh berkali-kali dalam hutan 14 hari

TAPAH, 7 Jun — Pendaki Jaslinda Saludin yang ditemui selamat hari ini selepas hilang selama 14 hari di kawasan Gunung Batu Putih di sini, mengalami beberapa kecederaan ringan termasuk di kepala selepas jatuh beberapa kali ketika cuba mencari jalan keluar dari hutan.

Keadaan mangsa stabil

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, wanita berusia 49 tahun itu juga mengalami gigitan serangga sepanjang berada di dalam hutan.

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Jaslinda kepada penyelamat, beliau jatuh beberapa kali ketika melalui kawasan sukar termasuk berhampiran sungai dan dari ketinggian kira-kira lima dan tiga meter, tetapi berjaya meneruskan perjalanan setiap kali.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Alhamdulillah, keadaannya stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah hari ini.

Ditemui oleh Orang Asli

Lebih awal, Jaslinda ditemui oleh seorang penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, kira-kira jam 5 petang.

Beliau adalah antara 14 pendaki dan dua Pemandu Gunung Perhutanan (MGP) yang memulakan ekspedisi Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti semasa pendakian. Jaslinda kemudian meneruskan perjalanan ke puncak dan kali terakhir dilihat oleh seorang pemandu pada kira-kira jam 7.30 pagi 24 Mei. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga