TikTok Malaysia bekerjasama dengan MCMC perkukuh keselamatan platform
TikTok Malaysia bekerjasama dengan MCMC perkukuh keselamatan

TikTok Malaysia memperkukuhkan komitmennya untuk meningkatkan ciri keselamatan platform menerusi Garis Panduan Komuniti TikTok. Langkah ini termasuk kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan kandungan yang diterbitkan mematuhi undang-undang negara dan menghormati sensitiviti budaya tempatan.

Usaha melindungi pengguna muda

Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia, Aliff Zakaria, berkata platform itu menyasarkan lebih 450 juta pengguna di Asia Tenggara, termasuk rakyat Malaysia, dapat menggunakan aplikasi secara sihat, positif dan kreatif.

“Kami mempunyai lebih 40,000 moderator pelbagai bahasa di seluruh dunia yang mahir dalam lebih 30 bahasa untuk menilai dan menyemak kandungan. Sekiranya terdapat laporan pelanggaran undang-undang atau sensitiviti budaya, tindakan tegas akan diambil dengan serta-merta,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ciri keselamatan untuk remaja

Platform ini menggunakan pendekatan “Keselamatan melalui Rekaan” dengan mengenakan sekatan umur yang ketat secara automatik. Pengguna di bawah 16 tahun dilarang sama sekali menggunakan ciri pemesejan langsung, manakala fungsi menghantar atau menerima hadiah hanya tersedia untuk pengguna berusia 18 tahun ke atas bagi melindungi kanak-kanak di bawah umur.

“Untuk mengimbangi masa skrin dan menangani isu ketagihan gajet, TikTok juga memperkasakan ibu bapa melalui ciri Family Pairing,” jelas Aliff.

Kawalan ibu bapa melalui Family Pairing

Melalui ciri Family Pairing, ibu bapa diberi akses kepada lebih 50 alat keselamatan untuk memantau anak-anak, seperti menetapkan had masa penggunaan TikTok, menyekat akses semasa waktu makan keluarga, dan mengawal jenis topik serta kata kunci yang boleh dilihat oleh anak-anak.

Aplikasi ini juga dilengkapi dengan pemberitahuan waktu tidur automatik pada pukul 11 malam atau 12 tengah malam bagi memastikan remaja mendapat rehat yang mencukupi, selain sistem kelulusan masa skrin yang memerlukan persetujuan ibu bapa secara langsung sekiranya anak meminta masa tambahan.

Kandungan pendidikan dan STEM

Aliff menegaskan TikTok bukan sekadar platform hiburan, malah menyediakan tab khusus Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mendidik kanak-kanak mengenai isu semasa seperti pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Platform ini juga digunakan secara aktif oleh guru untuk berkongsi modul sekolah dan tutorial peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ibu bapa digalakkan untuk menggunakan ciri keselamatan dan kandungan pendidikan ini bersama anak-anak bagi mewujudkan ekosistem digital yang seimbang dan bermanfaat untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Perkongsian Petua Keselamatan Dalam Talian sempena Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat daerah Kuching di sini hari ini.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga