Lima Warga China Cedera Selepas Kereta Ikut Aplikasi Navigasi Masuk Tapak Pembinaan di Machang
Lima Warga China Cedera Selepas Kereta Ikut Aplikasi Navigasi

KOTA BHARU, 2 Julai — Lima warga China cedera selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung di tapak pembinaan culvert di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Machang lewat malam tadi.

Kronologi Kejadian

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, maklumat mengenai kemalangan itu diterima daripada orang awam kira-kira jam 12.01 tengah malam. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 11.50 malam, melibatkan sebuah Toyota Prius yang dipandu oleh seorang lelaki warga China berusia 66 tahun, bersama empat penumpang warga China yang lain.

“Kesemua mereka dalam perjalanan dari Temangan, Machang ke Tok Bali, Pasir Puteh, dengan menggunakan aplikasi navigasi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kenderaan tersebut dipercayai telah memasuki tapak pembinaan culvert yang masih dalam pembinaan sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa dan Tindakan Polis

Azuhar berkata, semua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun, mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut. Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd Fadzil Musa, ketika dihubungi Bernama, berkata lima mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dikenal pasti sebagai Wang Fuying (59), Wang Yumi (61), Pan Jieyin (66), Yang Chuan (40), dan Zeng Guojin (65).

Nasihat Kepada Pengguna Jalan Raya

Azuhar menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada terhadap papan tanda amaran, kon lalu lintas dan penghadang di tapak pembinaan serta tidak terlalu bergantung sepenuhnya pada aplikasi navigasi, terutamanya pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga