KUALA LUMPUR: Kerajaan persekutuan sedia mempercepatkan pelaksanaan projek Autonomous Rapid Transit (ART) bertingkat di Johor Bahru serta menanggung sebahagian daripada kos pembinaannya, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Komitmen mempercepatkan projek
Loke berkata kerajaan mahu projek itu disegerakan walaupun ia dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Katanya, sementara menunggu projek itu siap, beberapa langkah mitigasi dibuat bagi mengurangkan kesesakan trafik di Johor Bahru, termasuk memperkukuh sistem pengangkutan awam sedia ada.
“Tetapi kita mempunyai komitmen bahawa projek ini mesti dijalankan secepat mungkin. Projek ini hanya dicadangkan pada Mei 2024 dan sekarang ini Julai, baru dua tahun sudah ada ‘letter of intent’ (surat hasrat projek).
“Tiada satu pun projek sebesar ini (ambil masa dua tahun). Pulau Pinang ambil masa 30 tahun untuk realisasikan projek LRT yang dicadangkan pada 1995,” kata Loke di Dewan Rakyat.
Kos ditanggung bersama
Beliau berkata, sebahagian syarikat yang menyertai peringkat permintaan cadangan (request for proposal) didapati kurang berdaya saing, menyebabkan Putrajaya perlu menanggung sebahagian kos projek tersebut.
“Kementerian pengangkutan bersedia menyatakan bahawa sekurang-kurangnya sebahagiannya (projek ini) menggunakan perbelanjaan pembangunan kementerian.”
Loke menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya sama ada Putrajaya bersedia mempercepatkan projek tersebut dan memperuntukkan dana daripada perbelanjaan pembangunan Kementerian Pengangkutan, sebagaimana yang dilakukan bagi projek LRT Mutiara di Pulau Pinang.



