Polis Bongkar Sindiket Judi Piala Dunia, Tangkap 29 Lelaki China
Polis Tangkap 29 Lelaki China Judi Piala Dunia

Polis Kuala Lumpur berjaya membongkar satu sindiket judi bola dalam talian selepas menangkap 32 warga China dalam serbuan di sebuah unit pejabat di Cheras, awal pagi semalam.

Serbuan Tengah Malam di Cheras

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 2.40 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. Hasil serbuan itu, seramai 29 lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 40 tahun ditahan.

Polis turut merampas 28 komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet dan peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian tersebut.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Operasi Judi Piala Dunia

“Sindiket ini didapati menjalankan perjudian bola sepak Piala Dunia melalui laman web 6288.com, menggunakan unit pejabat tersebut sebagai pusat operasi yang telah berjalan selama tiga minggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek telah direman selama empat hari sehingga 4 Julai bagi membantu siasatan,” tambah beliau.

Op Soga XI Dipergiat

Fadil berkata, Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan Op Soga XI sepanjang kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan kepada ejen pertaruhan, penganjur dan individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian, sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Tangkapan Lain: Pergaduhan di Pusat Beli-belah

Dalam perkembangan lain, Fadil memaklumkan polis telah menahan 12 lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Cheras pada Isnin lepas.

Semua suspek ditangkap dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara susulan laporan polis dibuat oleh salah seorang individu yang terlibat dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas seorang pekerja di pusat beli-belah menegur sekumpulan individu kerana menghalang jalan raya.

“Teguran itu kemudian membawa kepada pertengkaran mulut sebelum bertukar menjadi pergaduhan,” katanya, sambil menambah mangsa yang membuat laporan polis mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan.

Fadil berkata, semua suspek telah direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga