Malaysia perlu percepat penguasaan teknologi kuantum dan robotik
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh persediaan dalam teknologi kuantum dan robotik bagi memastikan negara tidak ketinggalan apabila kedua-dua bidang itu berkembang secara meluas pada masa depan. Pakar berkata, usaha itu bukan sekadar membabitkan pembangunan teknologi baharu, tetapi turut memerlukan pembinaan bakat, penyelidikan, dasar serta ekosistem yang mampu menyokong penggunaannya secara mampan.
Asas penyelidikan teknologi kuantum sudah wujud
Pensyarah Jabatan Fizik Universiti Malaya (UM), Raymond Ooi, berkata Malaysia sudah mempunyai asas penyelidikan teknologi kuantum menerusi universiti dan agensi tempatan. Katanya, negara perlu mempergiat usaha dalam bidang itu kerana banyak negara kini sedang melabur besar-besaran bagi membangunkan teknologi berkenaan.
“Begitu banyak negara sedang membangunkan teknologi ini dan melabur secara besar-besaran. Malaysia juga perlu memberi tumpuan serius kepada pembangunan teknologi ini,” katanya dalam Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2026.
Beliau berkata, teknologi kuantum mempunyai keupayaan jauh lebih tinggi berbanding pengkomputeran konvensional kerana memanfaatkan sifat asas atom dan foton. Perkembangan teknologi itu dijangka memberi kesan besar kepada pelbagai sektor termasuk keselamatan siber, perbankan dan pertahanan yang memerlukan sistem penyulitan lebih selamat.
Potensi ekonomi global teknologi kuantum
Ketua Jualan Asia Pasifik dan Jepun IBM Quantum, Rizwan Hussain, berkata teknologi kuantum berpotensi menjana nilai ekonomi global antara USD1.3 trilion hingga USD2.7 trilion menjelang 2035. Peluang itu dijangka muncul khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan sains hayat, sains bahan serta mobiliti.
Namun, beliau mengingatkan Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana kelewatan membangunkan bakat, penyelidikan dan aplikasi boleh menyebabkan negara kehilangan peluang ekonomi.
Robotik dijangka meningkat empat hingga lima kali ganda
Dalam bidang robotik pula, Pengurus Negara Agibot Malaysia, Steven Ding, berkata penggunaannya dijangka meningkat ketara dalam beberapa tahun akan datang, sekali gus mewujudkan keperluan terhadap tenaga mahir dalam penyelenggaraan, khidmat teknikal dan pembangunan aplikasi.
Katanya, syarikat itu menjangkakan penggunaan robot meningkat empat hingga lima kali ganda berbanding tahun lalu, dengan ribuan robot dijangka beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Robot bukan sekadar digunakan untuk demonstrasi atau persembahan, sebaliknya perlu diaplikasikan dalam situasi sebenar seperti sektor pembuatan dan peruncitan yang disesuaikan dengan keperluan tempatan,” katanya.
Steven berkata, Malaysia juga memerlukan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu mengintegrasikan teknologi robotik mengikut keperluan industri dan pengguna, termasuk apabila robot mula digunakan di rumah pada masa depan.
Tadbir urus dan kawal selia perlu diselaraskan
Pensyarah UM, Zaty Hakim Azizul Hasan, pula berkata pembangunan robot perlu disertai rangka kerja tadbir urus bagi membina keyakinan masyarakat terhadap teknologi itu. Beliau mencadangkan pendekatan ‘human-in-the-loop’, iaitu manusia kekal memainkan peranan dalam mengawasi pembangunan, pelaksanaan dan penggunaan robot.
“Jangan bangunkan robot dahulu, kemudian baru fikir tentang kawal selia. Sebaliknya, aspek peraturan perlu diterapkan sejak peringkat pembangunan lagi,” katanya.
Menurutnya, Malaysia perlu mencari keseimbangan antara kawal selia dan inovasi kerana peraturan terlalu ketat boleh mengekang perkembangan teknologi.



