Harga rendah barangan yang ditawarkan di platform e-dagang tidak boleh terus dianggap sebagai amalan harga lambakan atau amalan anti-persaingan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli.
Beliau berkata penentuan sama ada sesuatu amalan itu bersifat anti-persaingan mesti dinilai berdasarkan fakta, data pasaran dan bukti yang mencukupi, bukan hanya berdasarkan harga semata-mata. Antara faktor yang perlu diambil kira termasuk struktur kos sebenar, sumber subsidi atau pembiayaan, kedudukan pasaran, tempoh harga rendah ditawarkan serta kesannya terhadap pesaing.
Malaysia kekal ekonomi pasaran terbuka
"Prinsip kerajaan jelas. Malaysia kekal sebagai ekonomi pasaran terbuka yang menggalakkan perdagangan, pelaburan, inovasi dan persaingan. Persaingan sihat memberi manfaat kepada pengguna melalui harga yang lebih kompetitif, pilihan produk yang lebih luas dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik," katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau merespon ucapan usul menangguhkan Senator Datuk Phoong Jin Zhe yang membangkitkan isu ancaman platform e-dagang rentas sempadan seperti Pinduoduo dan Temu terhadap ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor peruncitan negara.
Phoong membangkitkan kebimbangan peniaga dan persatuan perniagaan tempatan bahawa mereka sukar bersaing secara adil dengan penjual asing disebabkan kos operasi yang lebih tinggi, antaranya sewa premis, gaji pekerja, caruman statutori, pelepasan kastam dan pelbagai cukai perniagaan.
Kerajaan pastikan medan persaingan sama rata
Marhamah menegaskan walaupun kerajaan mengamalkan dasar ekonomi pasaran terbuka, ini tidak bermakna pasaran dibiarkan tanpa kawal selia. Sebaliknya, kerajaan akan memastikan wujudnya medan yang sama rata dan semua pemain industri, sama ada peniaga tempatan, penjual asing atau platform digital, tertakluk kepada undang-undang dan tanggungjawab yang sama.
"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang amalan perdagangan yang menghapuskan pesaing secara tidak adil, menyalahgunakan kedudukan pasaran, atau akhirnya memudaratkan pengguna dan ekosistem perniagaan negara," ujarnya.
Beliau turut menekankan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pengguna terus menikmati manfaat persaingan sihat tanpa menjejaskan keselamatan, kualiti produk dan hak mereka sebagai pengguna, di samping tidak mengabaikan kepentingan PMKS.
"Kerajaan mengambil kira kepentingan PMKS dan perlu memastikan kelangsungan serta pembangunan sektor itu tidak terjejas, di samping memastikan hak dan kepentingan pengguna terus dilindungi," katanya.
Akta E-Dagang baharu dalam fasa pelaksanaan
Marhamah memaklumkan, Kabinet telah bersetuju untuk merangka Akta E-Dagang baharu bagi menyediakan rangka kerja undang-undang yang lebih komprehensif selaras dengan perkembangan ekonomi digital. Dasar itu kini berada dalam fasa pelaksanaan, bukan lagi pada peringkat cadangan atau kajian awal.
"Kabinet juga bersetuju supaya satu jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa teknikal ditubuhkan untuk menyelaraskan proses penggubalan akta tersebut supaya dapat disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan," katanya.
Melalui penggubalan akta itu, kerajaan akan meneliti secara menyeluruh tujuh aspek utama: tanggungjawab platform e-dagang, transaksi rentas sempadan, pematuhan penjual asing, perlindungan pengguna, ketelusan maklumat penjual dan produk, mekanisme penyelesaian pertikaian, serta kaedah penguatkuasaan terhadap entiti yang tidak mempunyai kehadiran fizikal di Malaysia.
Dengan adanya rangka kerja undang-undang ini, kerajaan berharap keseimbangan antara harga kompetitif dengan kemampanan PMKS tempatan dapat dicapai, sekali gus memupuk persaingan yang adil dalam pasaran digital tanpa menjejaskan kepentingan pengguna.



