Malaysia Berpeluang Kembali Anjur F1 Tahun Ini Jika Konflik Iran Berterusan
Malaysia Berpeluang Kembali Anjur F1 Tahun Ini

Malaysia berpeluang kembali tersenarai dalam kalendar Formula Satu (F1) pada notis singkat tahun ini, jika konflik di Iran terus menimbulkan gangguan, lapor portal khusus sukan permotoran, the-race.com pada Khamis.

Latar Belakang Konflik dan Penangguhan Perlumbaan

Pada pertengahan Mac lalu, F1 menangguhkan perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung pada April susulan peperangan, sekali gus mengurangkan kalendar musim ini daripada 24 kepada 22 perlumbaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut laporan itu, sekiranya dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar pada 29 November dan Abu Dhabi pada 6 Disember nanti tidak dapat diteruskan akibat konflik di Asia Barat, pengurusan F1 sedang meneliti pilihan lain.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pilihan Litar Alternatif

Sebelum konflik Iran kembali memuncak, penganjur berharap Grand Prix Bahrain dapat dijadualkan semula pada hujung minggu pertama Oktober, antara perlumbaan di Azerbaijan dan Singapura. Bagaimanapun, kemungkinan itu kini dilihat semakin tipis susulan ketegangan memuncak semula antara Amerika Syarikat dan Iran.

Justeru, Malaysia dan Turki antara calon untuk menganjurkan perlumbaan pada 4 Oktober ini, menurut laporan itu. F1 dijangka membuat keputusan awal mengenai perlumbaan yang dicadangkan pada Oktober itu ketika kejuaraan memasuki cuti pertengahan musim selepas Grand Prix Hungary di Budapest hujung minggu ini, sebelum saingan bersambung semula akhir bulan depan.

Sejarah Litar Sepang

Litar Antarabangsa Sepang pernah menjadi tuan rumah Grand Prix F1 Malaysia dari 1999 hingga 2017, sebelum ia digugurkan daripada kalendar susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Pilihan Lain untuk Perlumbaan Penutup Musim

Sementara itu, Litar Portimao di Portugal kekal lokasi alternatif bagi perlumbaan penutup musim, jika perlumbaan di Abu Dhabi pada 6 Disember ini tidak dapat diteruskan, manakala Grand Prix Qatar akan digugurkan daripada kalendar. Litar Algarve itu kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2020 dan 2021 sebagai pengganti ketika pandemik Covid-19 dan dijadualkan kembali menjadi tuan rumah pada 2027 serta 2028.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga