DALLAS, 6 Julai — Kapten pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo, mengesahkan pada hari Ahad bahawa Piala Dunia FIFA 2026 yang sedang berlangsung adalah kejohanan terakhir dalam kariernya, lapor Xinhua.
Pengakuan Ronaldo mengenai Piala Dunia terakhir
“Ini akan menjadi Piala Dunia terakhir saya, tetapi semoga esok bukan perlawanan terakhir saya,” kata Ronaldo kepada pemberita sebelum perlawanan pusingan 16 menentang Sepanyol. “Saya tidak rasa saya mengalami Piala Dunia yang buruk. Saya sudah menjaringkan tiga gol. Mari lihat sama ada saya boleh menjaringkan satu lagi esok.”
Pemain berusia 41 tahun itu menjaringkan dua gol menentang Uzbekistan di peringkat kumpulan dan menukar sepakan penalti menentang Croatia di pusingan 32, gol pertama peringkat kalah mati Piala Dunia buatnya.
Rekod enam Piala Dunia berturut-turut
Ronaldo telah menjaringkan gol di enam Piala Dunia berturut-turut sejak penampilan sulungnya di Jerman pada 2006, dan dengan 11 gol Piala Dunia, beliau adalah pemain pertama yang menjaringkan gol di enam edisi berturut-turut.
Ditanya berulang kali mengenai persaraan, Ronaldo menegaskan bahawa keputusan itu adalah miliknya seorang. “Sama ada saya bermain atau tidak, saya akan sentiasa mempunyai peranan penting dengan pasukan kebangsaan ini. Saya akan berhenti apabila saya memutuskan untuk berhenti, seperti yang saya katakan tahun lalu,” katanya.
Penuh emosi dan dedikasi
“Sejujurnya, apa pun yang berlaku esok, saya akan pergi dengan hati yang bersih, bukan 100 peratus, tetapi 1000 peratus. Kerana saya telah memberikan segalanya dalam bola sepak,” tambahnya.
Ronaldo telah membuat 232 penampilan untuk Portugal dan menjaringkan rekod 146 gol antarabangsa. Beliau mengetuai negaranya ke kejuaraan utama pertama di Euro 2016 dan kemudian menjulang trofi Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025.
Pujian untuk peminat
Mengimbas kembali kejohanan itu, Ronaldo yang beremosi memuji semangat peminat. “Piala Dunia ini ditandai dengan semangat orang ramai. Bukan hanya semangat kami untuk bermain dalam pertandingan sebesar ini, tetapi semangat peminat bola sepak di mana-mana,” katanya.
“Pagi ini semasa sarapan, saya bertemu dengan orang dari Venezuela dan Colombia yang menceritakan kisah mereka. Ramai daripada mereka menitiskan air mata apabila memandang saya. Itulah yang benar-benar penting. Itulah erti kehidupan.” — Bernama-Xinhua



