Cape Verde mengajar kita semangat juang tanpa mengira kekurangan
Cape Verde mengajar kita semangat juang tanpa mengira kekurangan

Cape Verde membuktikan bahawa saiz negara, kekurangan sumber dan keterbatasan ekonomi bukan alasan untuk tidak bersaing di pentas dunia. Ingat lagi perlawanan persahabatan bola sepak pada 29 Mei 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (kini dikenali TM Stadium Nasional)? Harimau Malaya bertemu Cape Verde. Ya, Cape Verde yang sama yang mengagumkan pada Piala Dunia 2026. Perlawanan berkesudahan Malaysia mengikat Cape Verde dengan jaringan 1-1. Keputusan itu bagaimanapun dibatalkan FIFA berikutan skandal dokumentasi pemain 'warisan' negara, sekaligus mengisytiharkan Malaysia kalah 3-0.

Keputusan seri yang mengelirukan

Lupakan seketika hukuman FIFA. Ambil kira keputusan 1-1 itu. Andaikan ia masih sah. Adakah keputusan itu membuktikan pasukan kebangsaan kita sama taraf dan sama kuat dengan Cape Verde? Bukankah seri bermaksud kedua-dua pasukan sama standard? Tentunya tidak. Jika jujur, kita akan mengakui Cape Verde jauh meninggalkan kita dalam pelbagai aspek. Lagipun, perlawanan persahabatan kedua pada 3 Jun 2025, juga di Bukit Jalil, Cape Verde mengalahkan Harimau Malaya 3-0.

Cape Verde sudah bermain di Piala Dunia. Malaysia sehingga kini gagal pada peringkat kelayakan. Begitulah kisahnya sejak dahulu. Benar, Cape Verde terkandas pada pusingan 32 Piala Dunia 2026. Tetapi dunia masih bercakap akan kehebatan pasukan itu: seri 0-0 dengan Sepanyol, seri 2-2 dengan Uruguay, dan 0-0 dengan Arab Saudi pada perlawanan kumpulan H. Sepanyol dan Uruguay pernah menjulang Piala Dunia, manakala Arab Saudi layak bermain di Piala Dunia tujuh kali termasuk yang diadakan tahun ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kehebatan yang diakui dunia

Yang mengagumkan, ketangkasan Cape Verde membuat Argentina berpeluh dan berdebar, mengheret Lionel Messi dan rakan-rakan bermain 120 minit sebelum tewas akibat gol sendiri pada saat-saat terakhir waktu tambahan. Maka Cape Verde tidak mara ke pusingan 16. Pujian mencurah-curah ke atas Cape Verde. Tidak perlu diulangi. Cukup sekadar menyatakan mereka menyusun strategi baik, ada kekuatan mental dan semangat kental. Semasa menentang Argentina, mereka mampu menjaringkan gol world class.

Menurut penganalisis politik yang minat bola sepak, Azlan Zainal, laungan paling menarik pada perlawanan itu ialah Cape Verde 'small island, big dreams, refuse to lose'. Memang banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman Cape Verde. Bagaimana ia boleh melahirkan pasukan taraf dunia yang disegani dan dihormati oleh pasukan elit. Memandang enteng akan bawa padah.

Namun, bagi saya, lessons to be learned daripada Cape Verde bukan sahaja membabitkan sukan atau khusus bola sepak. Ada aspek lain. Cape Verde atau dalam bahasa Portugis Cabo Verde mempunyai keluasan hanya 4,033 kilometer persegi. Populasi kira-kira 500,000 penduduk. Ia sebuah republik terletak di kepulauan kawasan ekologi Macaronesia di lautan Atlantik Utara berhampiran Pantai Barat Afrika.

Negara kecil dengan cabaran besar

Ia negara kecil yang tidak punya banyak sumber, malah sering mengalami kemarau teruk. Pertanian disukarkan oleh kurangnya hujan dan terhad kepada hanya empat pulau pada kebanyakan bulan setiap tahun. Keluaran Dalam Negeri Kasar datang rata-rata daripada industri perkhidmatan. Namun ekonomi Cape Verde telah bertumbuh sejak lewat dekad 1990-an dan kini dianggap sebagai sebuah negara yang sederhana perkembangannya.

Jelas keadaan Malaysia jauh lebih baik daripada Cape Verde. Namun jika ada sesuatu yang kita boleh contohi daripada negara itu ialah their drive and hunger to succeed, seperti ditunjukkan pasukan bola sepak mereka. Umumnya, pemain kebangsaan Cape Verde beraksi di luar negara, iaitu di Eropah dan juga Asia. Adakah mereka dimanjakan dengan pelbagai ganjaran apabila dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan? Saya tidak fikir begitu. Jika pun mereka mahu atau persekutuan bola sepak Cape Verde ada hasrat melakukannya, keadaan tidak mengizinkan. Tidak mungkin mereka mampu, taking into account their economic status.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Meritokrasi dan semangat juang

Lalu pemain dan persekutuan melakukan yang terbaik demi negara. Mereka bergerak sebagai satu pasukan. Ada teamwork. Tidak ada hidangan atau layanan istimewa untuk sesetengah pihak dan pada masa yang sama mengabaikan sesetengah pihak yang lain. Kesimpulannya, meritokrasi diamalkan. Saya kira begitu juga dengan rakyat Cape Verde secara umum. Tidak dimanjakan dan mereka pula tidak mengada-ngada. Kuat dan berani menghadapi pelbagai cabaran untuk mengukir kejayaan. Mungkin sambil melaungkan 'yes we're small island but we have big dreams and we refuse to lose'.

Bagi saya, Cape Verde mengajar kita mempunyai semangat itu supaya terus hebat bersaing di dunia, melawan pelbagai cabaran mendatang. Saya ulang, saya bukan hanya bercakap mengenai bola sepak.