Seorang wanita maut manakala tunangnya cedera selepas kereta yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah bas sekolah di Lingkaran Jalan Tengah 2 (MRR2) awal pagi tadi.
Kejadian di MRR2 menghala ke Kepong
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Isa, berkata pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.53 pagi. Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 2.30 pagi itu membabitkan sebuah Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 31 tahun bersama tunangnya yang berusia 26 tahun di tempat duduk penumpang.
“Mereka berada di lorong kiri apabila pemandu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan, lalu melanggar bahagian belakang sebuah bas sekolah yang diletakkan di tepi jalan tanpa tanda amaran.
“Penumpang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala pemandu mengalami kecederaan kepala dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan,” lapor Berita Harian hari ini.
Bas sekolah milik sekolah antarabangsa
Zamzuri berkata bas sekolah itu milik sebuah sekolah antarabangsa berhampiran. Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu mengantuk dan hilang kawalan ke atas kenderaannya.
“Kedua-dua kenderaan telah diambil untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya,” katanya.



