Kos Anjur Sukma 2026 Jimat Sehingga 67%, Kata Timbalan Menteri
Kos Sukma 2026 Jimat 67%, Kata Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR: Penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang akan berlangsung di Selangor mencatatkan pengurangan kos operasi sehingga 67% berbanding kos asal menerusi strategi penjimatan dan pengoptimuman sumber sedia ada. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, berkata penjimatan berkenaan tidak akan menjejaskan aspek keselamatan, kebajikan atlet serta mutu pertandingan temasya dwitahunan itu.

Strategi Penjimatan Berasaskan Pengoptimuman Sumber

“Pendekatan penjimatan yang dilaksanakan berasaskan prinsip pengoptimuman sumber melalui penggunaan fasiliti sedia ada. Pengurangan kos operasi serta penyelarasan skop penganjuran dibuat tanpa mengurangkan standard teknikal dan keperluan asas temasya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

“Bagi penganjuran kali ini, kemudahan sedia ada hanya dinaik taraf bagi memastikan acara sukan dapat dipertandingkan mengikut piawaian ditetapkan, sekali gus membolehkan kemudahan tersebut terus dimanfaatkan masyarakat setempat,” tambah beliau.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau menjawab soalan Senator Tiew Way Keng mengenai status terkini koordinasi antara kerajaan persekutuan, Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan kerajaan Selangor berhubung strategi penjimatan kos operasi penganjuran temasya itu.

Subsidi Harian dan Penginapan Kontinjen

Mordi berkata, berbeza dengan pelaksanaan terdahulu, Sekretariat Sukma Selangor 2026 hanya menyediakan subsidi harian kepada kira-kira 12,000 atlet serta pegawai, manakala pengurusan penginapan, makan dan pengangkutan diserahkan kepada kontinjen negeri masing-masing.

Katanya, pendekatan tanpa perkampungan sukan berpusat itu turut memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada peniaga dan komuniti tempatan di Selangor. “Sebanyak 640 lokasi penginapan kontinjen akan digunakan, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha hotel, inap desa dan peniaga tempatan untuk turut menerima manfaat ekonomi daripada penganjuran temasya tersebut.”

Komitmen Kewangan Kerajaan Persekutuan

Menjawab soalan tambahan Senator Larry Asap mengenai bentuk komitmen kerajaan persekutuan, Mordi berkata, Kementerian Belia dan Sukan menyalurkan bantuan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.75 juta bagi memastikan kelancaran penganjuran.

Ia merangkumi RM1 juta bagi keperluan kepegawaian teknikal temasya, RM350,000 kepada 54 ketua delegasi teknikal, RM100,000 bagi proses klasifikasi atlet Para Sukma serta RM300,000 bagi program kawalan doping oleh Agensi Anti-Doping Malaysia.

Selain bantuan kewangan, katanya, kerajaan persekutuan turut menyediakan kemudahan milik Majlis Sukan Negara seperti Velodrom Nasional di Nilai pada kadar sewaan khas serta Kompleks Belia dan Sukan Selangor sebagai venue pertandingan futsal dan Para Sukma bagi acara memanah serta badminton.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga