Impian Bapa Tentera Musnah: Anak Terbunuh Dalam Latihan Grenad
Impian Bapa Tentera Musnah: Anak Terbunuh Dalam Latihan

KLUANG, 17 Jun — Impian seorang bekas tentera untuk melihat anak bongsunya menyambung legasi keluarga dalam bidang ketenteraan berakhir dengan tragedi apabila Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, terbunuh dalam latihan grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah, semalam.

Bapa Terkesima Dengan Pemergian Anak

Bapanya, Sungip Jais, 65, berkata si mati, yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik, menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) atas minat yang mendalam terhadap bidang ketenteraan dan hasrat untuk meneruskan tradisi keluarga.

“Dia berminat dengan tentera sejak kecil. Dia pernah beritahu saya mahu sambung legasi keluarga kerana saya pun dalam tentera.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Selepas menamatkan Diploma Kejuruteraan Awam (Lebuh Raya dan Pengangkutan) di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, dia memohon untuk menyertai tentera,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Sri Lambak di sini hari ini.

Sungip, yang berkhidmat dengan Rejimen Artileri Diraja (RAD), menambah bahawa anaknya rapat dengan keluarga dan pernah menyatakan hasrat untuk menangguhkan perkahwinan bagi menjaga ibu bapanya.

“Dia belum mahu fikir soal kahwin lagi kerana mahu jaga Mak dan Ayah dulu,” katanya sebak menahan air mata.

Kenangan Terakhir Bersama Adik

Kakak mangsa, Siti Zaiha, 39, berkata Siti Khadijah menghantar gambar melalui WhatsApp pada tengah malam 15 Jun, yang kini menjadi kenangan terakhir keluarga.

Katanya, gambar itu menunjukkan adiknya ketika sesi latihan menembak, bahagian paling menyeronokkan dalam latihannya sejak menyertai Tentera tahun lalu.

“Siti Khadijah kata dia ada lagi latihan keesokan hari dan latihan grenad akan bermula sekitar pukul 8 pagi.

“Namun, kira-kira pukul 1 tengah hari, saya menerima panggilan memaklumkan adik saya terlibat dalam kemalangan. Pada mulanya, saya sangka ia kemalangan kecil atau kemalangan jalan raya.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan lagi memaklumkan kejadian berlaku semasa latihan dan adik saya telah meninggal dunia,” katanya.

Siti Zaihah berkata kehilangan ini sukar diterima keluarga kerana adiknya sentiasa ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku ketika pulang bercuti Aidiladha baru-baru ini.

“Kali terakhir kami bertemu adalah seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha. Dia kelihatan gembira seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan,” katanya.

Insiden Letupan Grenad

Dalam kejadian jam 10.57 pagi semalam, Siti Khadijah dan seorang lagi anggota, Koperal Norazmi Abu Bakar, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani akibat kecederaan dalam letupan tersebut.

Siti Khadijah menerima Anugerah Rekrut Wanita Terbaik (Akademik) pada Januari lalu atas prestasinya semasa latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dilahirkan pada 19 September 2002 di Kluang, beliau menjalani latihan sebagai rekrut wanita bersama Kompeni Juliet sebelum ditempatkan ke Rejimen Jurutera Tentera Darat (RAJD).

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak di sini tengah hari tadi. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga