Pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berjaya mara ke pusingan kedua Indonesia Open 2026 di Jakarta selepas menewaskan rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, pada Rabu.
Pemain kedua terbaik dunia itu hanya memerlukan 31 minit untuk menumpaskan Wan Arif-Roy King dengan skor 21-15, 21-14 di laman ikonik Istora Senayan.
Kemenangan ini mengekalkan rekod tanpa cela Aaron-Wooi Yik menentang Wan Arif-Roy King, menjadikan ia kemenangan keempat dalam empat pertemuan antara kedua-dua pasangan.
Seterusnya, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, yang menewaskan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, dengan mudah 21-9, 21-13.
Kang Khai Xing-Aaron Tai mara tanpa bertanding
Pasangan muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai, turut mara ke pusingan kedua dalam keadaan yang agak bertuah.
Pasangan ranking ke-23 dunia itu mara selepas pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, terpaksa menarik diri ketika perlawanan di game pertama. Satwiksairaj dipercayai mengalami kecederaan di pertengahan perlawanan, dengan pemain Malaysia mendahului 11-6.
Khai Xing-Aaron akan berdepan pasangan India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun, yang menewaskan pasangan bebas Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, 21-18, 21-10.
Pearly-Thinaah mudah ke pusingan kedua
Dalam acara beregu wanita, pasangan utama negara dan pilihan kedua, Pearly Tan-M. Thinaah, selamat mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Kanada, Jackie Dent-Crystal Lai, 21-13, 21-14.
Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan, yang menewaskan pasangan Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan, 21-13, 17-21, 21-16.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita nombor satu negara, K. Letshanaa, melangkah ke pusingan kedua selepas mengejutkan pemain Denmark ranking ke-20 dunia, Line Hojmark Kjaersfeldt, 21-14, 19-21, 21-13.
Namun, tugas sukar menanti Letshanaa esok apabila dia dijadualkan bertemu pemain Jepun ranking ketiga dunia, Akane Yamaguchi, yang menyingkirkan pemain Taiwan, Huang Yu-Hsun, 21-17, 21-11.
Keputusan pusingan pertama yang lain
- Beregu wanita: Ong Xin Yee-Carmen Ting menewaskan Kaho Osawa-Mai Tanabe (JPN) 15-21, 21-9, 21-19
- Beregu campuran: Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menewaskan Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja (INA) 17-21, 21-16, 23-21
- Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin (CHN) menewaskan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 21-11, 21-17



