Warga emas 75 tahun mengaku tak salah pandu melulu mautkan dua beradik
Warga emas 75 tahun mengaku tak salah pandu melulu mautkan dua beradik

Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dua wanita yang juga pasangan adik-beradik, Rabu lalu.

Pengakuan Tidak Bersalah

Ang Kim Lai, 75, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin, di hadapan Majistret A Khartiyayini. Ang yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) itu, didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Wong Nyok Sim, 62, dan Wong Nyoke Fong, 57 di Jalan Pekan Baru, Klang, pada 7.30 malam, 15 Mei.

Pertuduhan Mengikut Seksyen 41(1)

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, termasuk lesen digantung, jika sabit kesalahan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan, lapor Bernama. Namun, peguam Tong Kuan Ling yang mewakili Ang memohon jaminan yang minimum kerana bapa kepada lima anak itu menghidap darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan rawatan susulan.

Jaminan Ditetapkan

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai, selain menetapkan 4 Ogos sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 15 Mei, dua wanita berusia 57 dan 62 tahun maut, manakala seorang remaja berusia 17 tahun turut cedera selepas dirempuh sebuah SUV yang dipandu seorang warga emas. Pemandu SUV berkenaan dilaporkan melarikan diri sejurus nahas, sebelum ditahan polis di kedai makan miliknya pada keesokan hari.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga