MUAR, 18 Julai — Seorang wanita berusia 83 tahun dan anak perempuannya maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Temenggung Ahmad berhampiran Parit Unas, Muar, semalam pada pukul 10.30 pagi.
Kronologi kejadian
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu anak perempuan berusia 58 tahun itu hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan.
Kenderaan itu kemudian merempuh sebuah lori yang dalam perjalanan dari bandar Muar menuju ke Parit Jawa.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala wanita tua itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pemandu lori cedera
Beliau menambah pemandu lori berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan di tangan dan kaki dan sedang menerima rawatan di HPSF.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini tampil membantu siasatan,” katanya.



